Sumber dari
akhbar Harian Metro, ruang Sabtu Best! – 04/02/2017 :
(Oleh Muhamad Hafis Nawawi)
Naluri simpati dan menyayangi kucing menyebabkan seorang
wanita sanggup mengayuh basikal lebih lima kilometer setiap hari memberi makan
kepada haiwan terbiar yang ditemui di kawasan pasar dan sekitar Pasang Serai,
dekat sini.
Malah tanpa memperdulikan kesempitan hidup dialaminya, wanita
tabah ini, Norliza Hassan, 47, sanggup menggunakan RM 700 diberikan suaminya,
Mohamad Ismail, 46, yang hanya bekerja sebagai Pengawal Keselamatan setiap
bulan untuk membeli makanan dan ubat haiwan itu.
Norliza berkata, malah di rumahnya sewanya di Taman Ria, di sini,
saja kira-kira 20 ekor kucing terbiar yang dibawa pulang dipelihara yang
dianggap seperti anak dan cucu sendiri menemaninya setiap hari.
Menurutnya, dia mula melakukan kerja amal memberi makan
kucing terbiar ini sejak enam tahun lalu bermula di Tikam Batu, Sungai Petani
sebelum berpindah ke sini dan tetap meneruskan aktiviti itu.
Setiap pagi saya akan memasak nasi bersama ikan goreng yang
diperuntukkan sebanyak tiga hingga empat kilogram sehari sebelum dimasukkan ke
dalam beg plastik.
Berbekalkan sebuah basikal disumbangkan jiran, saya akan
mengayuh setiap hari ke pasar, kawasan sekitar dan taman di Padang Serai untuk
memberi makanan kepada kucing terbiar yang ada disini, katanya.
Katanya, kadangkala jika dia melihat kucing yang luka dia
akan mencuci dan merawatnya dengan ubat yang dibeli sendiri di kedai haiwan
sehingga digelar “mak kucing” oleh penduduk di sekitar sini.
Saya bukan orang senang, namun naluri simpati dan kasihan
melihat kucing terbiar menyebabkan saya mendahulukan kucing berbanding saya
sendiri, katanya.
Norliza mengakui duit simpanan juga dihabiskan untuk membeli
makanan kucing kerana tidak sanggup melihat haiwan itu terbiar tanpa diberi
makan.
Surirumah itu berkata, walaupun kehidupannya susah dan
bergantung hidup dengan pendapatan suami namun bukan penghalang untuk berbakti
kepada haiwan itu.
Saya tidak pernah mengeluh dang menganggap ini niat ikhlas
saya ingin membantu haiwan ini supaya nasib mereka terbela, katanya.
Bagaimanapun bukan semua yang menyukai apa yang
dilakukan, malah pernah diherdik dan dimarahi kerana memberi makanan kepada kucing
terbiar menyebabkan kawasan itu menjadi tumpuan haiwan itu dan mengundang rasa
tidak puas hati sesetengah pihak.
Lebih malang saya pernah menjadi mangsa samun
ketika mengayuh basikal untuk memberi makanan kepada kucing, namun itu semua
tidak pernah mematahkan semangat saya untuk terus membantu.
Saya Cuma berharap jika memiliki kemampuan ingin membina
sangkar kucing di rumah ini untuk memelihara kucing terbiar, namun buat masa
sekarang tidak mampu, katanya.
Comments