Pada hari Ahad lepas saya didatangi oleh seorang anak
jiran berusia 8 tahun. Dia bertanya kepada saya “pakcik Azhar nak tak kucing
saya tu”? Kucing yang dia maksudkan itu adalah seekor kucing betina yang sering
datang makan makanan biskut kucing yang saya letakkan di luar pintu rumah. Saya
juga sering membelai kucingnya itu.
Kemudian saya bertanya kenapa dah tak nak bela kucing
tu lagi? Anak jiran itu kata ia sering berak merata dalam rumah termasuk atas
katil. Aduh kesiannya. Saya tidak boleh lagi ambil kucing kerana memberi
perlindungan dan penjagaan buat 23 ekor kucing di dalam rumah kecil saya.
Memang tidak boleh lagi menampung tambahan kucing.
Jadi tengahari semalam saya pun iklankan di laman
facebook saya untuk mencari penjaga baru buat kucing itu. Selepas itu petang semalam saya menerima whatsapp daripada sahabat facebook
saya yang menyatakan dia sudi membela kucing betina berkenaan. Alhamdulillah.
Saya pun berhasrat nak hantar kucing itu kepada sahabat facebook saya pada hari
yang sama kerana khuatir sesuatu yang tidak diingini berlaku jika saya tunggu
esok atau lusa.
Selepas itu saya pun pergilah ke rumah jiran untuk
memberitahu saya telah dapatkan penjaga baru buat kucingnya. Tapi kucingnya itu
tidak berada dalam rumah. Ia berkeliaran di luar rumah. Kemudian saya pun
pergilah mencari kucing itu tapi tidak jumpa. Saya pun masuk ke dalam dan beritahu
kepada sahabat facebook bahawa saya tidak jadi hantar pada malam itu juga
kerana kucing itu tidak ada. Namun tidak lama kemudian anak jiran yang berusia
8 tahun mengetuk pintu rumah saya dan itu telah menyerahkan kucingnya kepada
saya. Saya pun terlupa bertanya di manakah dia jumpa kucingnya itu. Selepas
menyerahkan kucingnya saya lihat anak jiran itu sedih hingga menitiskan air
matanya.
Saya pun memberitahu kepada sahabat facebook berkenaan
yang saya telah dapat kucing itu dan akan hantar kepadanya malam itu juga. Kemudian dalam pukul 8.30 malam saya pun
bergerak dari rumah untuk menghantar kucing itu ke rumah penjaga barunya di
kawasan perumah yang terletak di Rawang juga. Walaupun sebenarnya pada ketika
itu saya agak kepenatan dan mengalami sakit kepala, namun saya gagahkan juga
diri untuk menghantar kucing itu.
Semoga kucing yang telah mendapat penjaga baru itu
akan serasi, dapat menyesuaikan diri dan dapat kasih sayang daripada penjaga
barunya. Berbanyak terima kasih kepada sahabat facebook saya itu kerana telah
sudi untuk memberi penjagaan dan perlindungan buat kucing berkenaan.
Nasihat saya jika anda ingin memelihara kucing,
fikirlah betul-betul sama ada anda benar-benar sanggup dan bersedia menghadapi
pelbagai karenah atau ragam kucing. Anda harus mempunyai tahap kesabaran yang
tinggi. Mandulkan juga kucing berkenaan. Jika anda berupaya memelihara banyak
kucing boleh menjalankan tanggungjawab dengan sebaiknya tidak menjadi masalah
untuk tidak memandulkannya.
Comments