Pertama kali bersua dengan Chibi sewaktu saya sedang turun
dari motorsikal di kawasan meletak motosikal bawah pangsapuri kediaman saya.
Chibi menyapa saya dengan wajahnya yang comel. Saya membelainya dan kemudian
Chibi ikut naik ke tingkat 1 melalui tangga untuk ke rumah saya. Sebelum ini
saya tak pernah nampak Chibi dikawasan kediaman saya. Saya syak Chibi dibuang
oleh seseorang selepas ia bunting sebab perutnya nampak seakan berisi.
Hari pertama, saya hanya dapat bagi Chibi makan ikan bilis mentah
saja. Tiada makanan lain kerana kami jarang memasak di rumah sebab hanya
tinggal berdua (saya dan isteri). Yang ada cuma ikan bilis itu pun stok lama
dan mujur masih lagi elok. Berselera Chibi makan pada waktu itu walaupun hanya
ikan bilis mentah, mungkin dah lama tak dapat makan.
Hari kedua, selepas bagi Chibi makan setengah ekor ayam
panggang yang dibeli, disebabkan kasihan melihatnya, saya dan isteri membuat
keputusan untuk membela Chibi di dalam rumah dan tak mahu Chibi berkeliaran di
luar kawasan rumah lagi. Hari pertama bermalam di rumah saya, Chibi membuang
najisnya di kawasan berhampiran ruang tamu rumah. Memang salah saya sebab tak
sempat menyediakan tempat untuknya membuang najis. Saya dan isteri menjaga dan
mengasihi Chibi bagaikan anak sendiri memandangkan kami masih belum mempunyai
zuriat.
Selepas 2 bulan, Chibi pun selamat melahirkan 3 ekor anak
yang comel dan sihat. Namun selepas hamper 3 bulan, kami membuat keputusan
untuk menyerahkan anak-anak Chibi kepada mereka yang sudi menjaga dan
menerimanya sebagai sebahagian dari keluarga yang turut disayangi dan dikasihi.
Ini kerana pada waktu itu kami belum bersedia untuk membela lebih dari seekor
kucing. Tak sampai 15 minit iklan masuk di laman iklan mudah.my, sudah ada
sebuah keluarga berhati mulia dari Bukit Beruntung, Selangor yang sudi
mengambil kesemua anak-anak Chibi. Tempat pertemuan untuk penyerahan diaturkan
di Tesco Bukit Beruntung. Sebenarnya memang berat hari untuk menyerahkan
anak-anak Chibi tu, tapi apakan daya, pada waktu itu kami belum bersedia
membelanya.
Gambar salah seekor anak Chibi yang pertama kali dilahirkan
Hari demi hari Chibi semakin serasi bersama kami di dalam
rumah, walaupun apabila tiba musim mengawan Chibi beberapa kali cuba meloloskan
dirinya untuk keluar dari rumah. Disebabkan tak sampai hati melihat keadaannya
yang mencakar-cakar lantai depan pintu untuk keluar, saya pun izinkannya keluar
rumah seketika tapi malangnya Chibi tak balik ke rumah. Kami berasa amat bimbang
akan keadaannya di luar rumah. Puas
memanggil dan carinya tapi tak jumpa. Seminggu selepas keluar rumah, Chibi
akhirnya balik. Memanggil-mangil di depan rumah. Alhamdulillah, lega rasanya
melihat Chibi selamat balik cuma keadaannya kurus kerana tak makan. keadaan
saya dan isteri kembali ceria.
Selepas 2 bulan, Chibi melahirkan anak buat kali kedua dalam
rumah saya. Kali ini melahirkan 4 ekor anak. Pada mulanya kesemua anaknya sihat
dan tiada sebarang masalah, namun selepas 1 bulan anaknya mula mengalami
masalah mata seperti tahi mata yang asyik keluar dan melekat seperti gam. Saya
membersihkan mata anak-anaknya beberapa kali setiap hari. Disebabkan masalah
mata ini, penglihatan Dinas terjejas walaupun saya dah cuba merawatnya dan
membawanya ke klinik haiwan. Kemudiannya pula seekor anak Chibi yang kami
namakan Kenit meninggalkan kami buat selamanya kerana terencat dari segi
pembesarannya, Tinggallah 3 ekor, Dinas (betina), Cik Kam (jantan) dan Vida
(jantan). Kemudiannya Vida diserahkan pada kakak saya yang berminat membelanya
dan ditukarkan ke nama Pico. Kini Pico seekor kucing jantan membesar dengan
sihat dan dijaga dengan baik.
Gambar Chibi bersama Dinas
Selepas bulan Syawal tahun lepas (2016), Chibi meninggalkan
kami buat selama-lamnya. Tak dapat dipastikan Chibi sakit apa. Ketiadaannya
dirasai hingga kini. Mujur masih ada 2 ekor anaknya bersama kami, Dinas dan Cik Kam adalah penyambung kasih
sayang kami terhadapnya.
Gambar Dinas & Cik Kam sewaktu umur hampir 2 bulan
Comments