Tuesday, 28 April 2020

SEDIH MELIHAT KUCING-KUCING TERBIAR DI SEPANJANG TEMPOH PKP

Kucing-kucing jalanan amat mengharapkan rasa simpati dan belas ihsan daripada pemilik kedai makan, pekerja dan juga pengunjung atau pelanggan yang mengunjungi kedai-kedai makan untuk mendapat secebis sisa makanan. Hanya dengan cara inilah kucing-kucing terbiar itu mendapat sumber makanan. Selain itu ada juga kucing-kucing jalanan yang hidup terbiar berkeliaran di kawasan belakang kedai dan menyelongkar tong-tong sampah untuk mencari sisa-sisa makanan.
Oleh yang demikian, bagaimana kucing-kucing jalanan yang asalnya bertuan sebelum dibuang di kedai-kedai makan boleh mendapatkan sumber makanan sedangkan hampir semua kedai makan tutup atau tidak beroperasi sepanjang tempoh “Perintah Kawalan Pergerakan”?
Jadi sebagai pencinta kucing sejati yang berasa amat sedih mengenangkan nasib kucing-kucing jalanan yang hidup terbiar di kawasan lot-lot kedai pada ketika ini, maka kini setiap hari saya akan meronda di beberapa kawasan lot kedai terutamanya di kawasan yang terdapat premis kedai makan. Memang banyak kucing-kucing terbiar yang hidup gelandangan di kawasan lot-lot kedai yang saya temui. Mereka semua kelaparan serta kehausan.
Jika sebelum tempoh PKP dilaksanakan, saya lebih banyak memberi tumpuan kepada kucing-kucing terbiar yang terdapat di beberapa hentian highway, kini saya juga perlu membantu kucing-kucing jalanan yang hidup terbiar di kawasan lot-lot kedai. Ini sudah tentu meningkatkan perbelanjaan saya untuk membeli makanan.
Walaubagaimanapun, syukur Alhamdulillah ada juga sahabat-sahabat facebook saya yang prihatin telah sudi menhulurkan sumbangan untuk perbelanjaan makanan buat kucing-kucing terbiar di merata tempat itu. Ini sedikit sebanyak meringankan perbelanjaan yang perlu saya keluarkan.

Selain itu juga ada pihak syarikat pengeluar makanan kucing (SmartHeart) yang telah sudi memberi saya sumbangan makanan kucing secara “one-off” (sekali sahaja) disebabkan PKP. Ini menunjukkan pihak syarikat berkenaan juga amat prihatin terhadap nasib kucing dan anjing jalanan sepanjang tempoh PKP ini.
Dalam pada rasa gembira kerana menerima sumbangan makanan kucing, tapi hakikatnya saya masih berasa sedih atas kehilangan tujuh ekor kucing bawah jagaan saya akibat serangan virus parvo baru-baru ini dan ditambah pula dalam tempoh PKP ini saya telah terserempak dengan beberapa ekor kucing yang sudah tidak bernyawa lagi di beberapa lokasi.

Semuanya ditemui mati dalam keadaan tragis. Ada kucing yang sudah tidak bernyawa itu saya temui ketika sedang meronda di kawasan lot kedai bagi mencari kucing-kucing terbiar untuk diberi makanan.

Saya rasa kucing-kucing yang sudah tidak bernyawa itu mungkin ada yang mati kerana kelaparan dan juga mati akibat dilanggar kenderaan ketika berkeliaran mencari makanan disebabkan terlalu lapar. Paling tragis saya temui seekor kucing betina yang mati hingga terkeluar anak dalam kandungannya. Menitis air mata saya ketika kebumikannya.
Ada juga seekor kucing betina bersama tiga ekor anaknya yang baru lahir ditemui di sebuah kawasan medan selera yang tiada satu kedai pun beroperasi disebabkan PKP. Bayangkan bagaimana kucing itu hendak mendapatkan makanan?
Malangnya dalam tempoh PKP ini yang menyebabkan banyak premis perniagaan tidak boleh beroperasi seperti biasa, tapi masih terdapat mereka yang tidak bertanggungjawab membuang kucing-kucing di kawasan lot kedai makan, medan selera di R&R dan kedai menjual makanan haiwan tanpa rasa bersalah dan kesian terhadap kucing-kucing yang dibuang itu. Tolonglah jangan buang kucing. Jadilah pemilik kucing yang bertanggungjawab.
Baru-baru ini saya berkesempatan singgah di beberapa medan selera di dalam kawasan R&R. Saya dapati medan selera berkenaan diarah tutup disebabkan PKP. Jadi medan selera itu lengang dan sunyi. Saya telah meronda di kawasan medan selera dan menemui si ibu kucing bersama empat ekor anaknya dibelakang kawasan gerai. Kesian melihat mereka. Bagaimana si ibu dan anaknya itu boleh meneruskan hidup tanpa sumber makanan?
Tolonglah jangan buang kucing. Tambah dalam tempoh PKP ini kucing-kucing yang telah dibuang di kawasan kedai makan dan medan selera itu tiada sumber makanan yang boleh mereka perolehi. Kucing-kucing yang dibuang itu boleh mati kebulur dan kehausan. Jadilah pemilik kucing yang bertanggungjawab.

Jangkahayat kucing-kucing yg dibuang itu biasanya pendek @ hidup tak lama disebabkan terdedah pada risiko-risiko seperti berikut :

1) mati kelaparan dan kehausan.

2) mati akibat dizalimi oleh manusia (dipukul, diracun, disiram air / minyak panas dan lain-lain).

3) mati akibat dilanggar kenderaan.

4) mati akibat dijangkiti penyakit dan tidak dirawat.

5) mati akibat bergaduh dengan kucing lain.

6) mati akibat bengkak susu bagi kucing betina yang kematian anak.

Dan lain-lain lagi risiko dan kesengsaraan yang boleh mengancam keselamatan dan nyawa kucing-kucing yang dibuang itu.

Jadilah pemilik kucing yang bertanggungjawab.

Setiap manusia itu lebih utama untuk berusaha dalam memastikan dirinya ditempatkan oleh Allah S.W.T ke dalam syurga melalui amalan soleh di dunia. Seperti yang diketahui, menjaga kebajikan haiwan-haiwan peliharaan adalah termasuk dalam amalan soleh yang boleh membawa seseorang menuju ke syurga.

Marilah bersama-sama memupuk nilai ihsan kepada haiwan kerana boleh jadi itulah asbab kita yang membantu ke syurga kelak. Wallahua’lam.

Friday, 24 April 2020

LULUH HATI APABILA SEEKOR DEMI SEEKOR KUCING BAWAH JAGAAN PERGI BUAT SELAMANYA

Virus Pembunuh Kucing atau Parvo telah meragut nyawa kucing-kucing bawah jagaan saya dan seekor demi seekor pergi buat selamanya. 
Pada 7hb. April 2020 bermulalah trajedi meragut nyawa kucing-kucing bawah jagaan saya seekor demi seekor. Saya rasa ia bermula selepas saya membawa tiga ekor anak kucing iaitu Misha (anggaran usia 2 bulan, Cik Lang (usia 7 bulan) dan Kiki (8 bulan) untuk menerima rawatan disebabkan masalah cacing, kutu dan fungus.
Boleh baca semula kisah saya bawa Misha, Cik Lang dan Kiki ke klinik di pautan link ini :

Kemudian seekor demi seekor anak kucing itu mengalami cirit teruk dan muntah-muntah. Jika sebelum ini mereka semua ceria tapi selepas beberapa hari pulang dari klinik, tiba-tiba kelihatan monyok dan comot sebab terlalu kerap mengalami cirit serta muntah.

Pada mulanya saya tidak menjangka kucing-kucing itu mengalami masalah kesihatan yang serius. Namun apabila seekor demi seekor pergi meninggalkan saya buat selamanya bermula dengan Misha selepas itu dikuti Cik Lang, saya mula rasa tidak sedap hati. Saya rasa ada masalah serius sedang melanda dalam rumah saya.

Berdasarkan bacaan dan rujukan di internet, saya syak ia adalah virus pembunuh atau parvo sedang menyerang kucing-kucing yang berusia bawah setahun dan lemah antibodinya. Tiada ubat khas untuk memulihkan kucing-kucing yang dijangkiti virus Parvo ini.

Apa yang boleh saya lakukan hanya membantu menguatkan antibodi kucing-kucing yang dijangkiti dengan memberi makanan tambahan atau suplemen seperti susu kambing asli, madu lebah asli, minyak kelapa dara, vitamin pro mill’s dan vetri dmg.

Selain itu saya turut menyembur seluruh kawasan rumah saya dengan spray disinfectant atau nyah kuman anti bakteria, virus dan kuman.
Masalah ini memang amat memeningkan dan merisaukan saya. Saya tidak sanggup kehilangan kucing-kucing bawah jagaan saya. Saya belum bersedia lagi sebab saya amat sayangkan mereka semua.

Saya berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan kucing-kucing yang dijangkiti virus parvo pembunuh kucing. Tapi malangnya selepas itu Tom pula pergi meninggalkan saya buat selamanya. Kemudian kesokkannya diikuti Chat dan Mimi. Selepas empat hari Mielo pula pergi walaupun seolah Mielo seakan masih ada harapan untuk diselamatkan. Kemudian Miji pula meninggalkan saya pada 20hb. April. Ini menjadikan jumlah yang telah pergi meninggalkan kami disebabkan virus parvo adalah tujuh ekor semuanya.
Memang luluh hati saya dibuatnya. Saya berasa amat sedih atas pemergian mereka semua. Keadaan dalam rumah saya terasa sunyi seketika. Kucing-kucing yang telah pergi buat selamanya itu ada kisah mereka tersendiri.
Hanya Kiki dan Kiko saja yang terselamat daripada sembilan ekor yang mengalami serangan virus Parvo yang tiada ubat atau penawar.
Misha saya selamatkan di tengah pembahagi jalan dari sebuah highway. Kisah Misha boleh baca semula di pautan link ini :
Mimi saya selamatkan dari sebuah kedai makan.
Cik Lang dan Miji adalah anak si Kecik. Kecik saya ambilnya sebab bekas tuannya sudah tidak mahu menjaganya lagi atas alasan masalah kesihatan. Kecik terbunting disebabkan saya terlambat kembirikan Cik Tie seekor kucing jantan yang diselamatkan dari bawah blok kediaman saya semasa ia kecil. Kini Cik Tie telah selamat dikembirikan.
Chat, Mielo dan Tom adalah anak Daisy. Daisy juga terbunting seperti Kecik. Dulu semasa Daisy kecil, ia telah dibuang di hadapan rumah saya dan diletakkan dalam kotak. Kemudian saya serahkan kepada keluarga angkat yang pada mulanya boleh menjaganya namun selepas setahun Daisy dipulangkan kepada saya atas alasan dia tidak dapat terus menjaga Daisy atas alasan kesihatan.
Semoga anak-anak papa yang telah pergi buat selamanya tenang di sana. Insha Allah mungkin kita semua akan berpeluang bertemu kembali di suatu masa nanti di alam lain.