Pada mulanya disebabkan kurang pengetahuan dan pengalaman,
saya pun tak bersetuju serta menyokong pasal hal mandulkan kucing. Tapi bila
melihat sendiri banyak kucing-kucing betina terutamanya yang kena buang sebab
bunting dan lepas tu anak-anaknya mati menderita kerana tak mendapat tempat
perlindungan yang sepatutnya, ada yang mati
dalam longkang dan kena lenyek dengan kereta dan motorsikal, selepas itu
barulah saya mengubah pendirian dari tak bersetuju kepada bersetuju.
Kemudian saya pun bertindak memandulkan kucing betina saya
dan selepas itu kucing jantan pula. Memang ketara melihat tingkahlaku
kedua-duanya iaitu sebelum dan selepas dimandulkan. Yang paling ketara keadaan
lebih tenteram kerana kucing betina saya tak lagi bunyi ingin mengawan setiap
kali tiba musim mengawan. Jika dulu bila tiba musim mengawan, saya lihat kucing
betina saya akan kencing dan berak dimerata tempat kerana mungkin agaknya tak
dapat mengawal perasaan. Manakala kucing jantan pula tak kencing memancut lagi
dan kelihatan lebih manja serta aktif bermain dalam rumah dan takut nak keluar rumah. Saya tak rasa risau lagi
bila setiap kali membuka pintu untuk keluar masuk dari rumah.
Saya perlu memandulkan kucing jantan dan betina saya
disebabkan tak berupaya untuk membela banyak kucing dalam rumah pangsapuri yang
kecil dan disamping itu juga saya menjalankan bisnes produk makanan dari rumah.
Bimbang nanti bulu-bulu kucing akan terdapat pada produk makanan saya.
(gambar sekadar hiasan) |
Berikut adalah maklumat yang dipetik dari sumber Akhbar Kosmo : Helo...Vet Di Sini Oleh DR. ZURAIDAH GHADZALI. Ijazah Doktor Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia :
Pelaksanaan
pemandulan juga mempunyai kebaikan atau kelebihan yang tersendiri antaranya :
1 - Membantu mengawal sifat si comel: Kucing jantan tidak
sibuk mencari kucing betina dan si betina pun tidak memanggil-manggil si jantan
untuk mengawan. Ada kemungkinan besar, si jantan akan mula menanda kawasan
dengan air kencing, sekiranya pemandulan tidak dilaksanakan. Sesetengah kucing
mungkin ada sedikit perubahan perlakuan iaitu daripada agresif menjadi lebih
manja. Tidak dinafikan ada juga kucing yang bertambah garang. Cuma peratus
perubahan daripada manja kepada garang adalah sangat rendah.
2 - Mengawal populasi: Khas untuk kucing betina. Mengelakkan
daripada pembiakan luar kawalan dan mengurangkan risiko anak-anak yang baru
lahir dibuang ke pasar atau restoran yang mampu mengakibatkan penderaan,
kecederaan, kemalangan dan kematian.
3 - Mengurangkan risiko jangkitan penyakit berbahaya: Kucing
jantan yang belum dimandulkan lebih cenderung untuk merayau mencari pasangan.
Pertembungan antara dua ekor jantan bakal mengakibatkan pergaduhan. Kecederaan
akibat pergaduhan mampu membawa jangkitan yang serius pada kucing jantan atau
boleh dijangkiti penyakit yang bersifat zoonosis iaitu berjangkit pada manusia
atau haiwan lain. Ia juga mengurangkan risiko jangkitan pada pundi kencing.
Bagi kucing betina, pemandulan membantu mengurangkan risiko jangkitan dalam
rahim, masalah keradangan pada puting susu dan kanser yang melibatkan anggota
peranakan.
4 - Menjimatkan kos: Setelah dimandulkan, si comel cenderung
untuk berada di sekitar kawasan rumah. Ia membantu pengurangan risiko jangkitan
akibat pergaduhan sekali gus membantu menjimatkan kos rawatan dan penjagaan.
Comments