Di kawasan kediaman pangsapuri saya ni kebanyakkan kucing
yang dibuang oleh manusia yang zalim adalah kucing betina, sama ada yang belum
bunting dan sedang bunting. Kenapa orang lebih suka buang kucing betina? Sebab
yang kita boleh agak, tak sanggup nak bela pasal dekat rumah dah ada banyak
kucing. Bila ditanya kenapa takut kucing membiak? Tak sanggup kena keluarkan
belanja tambahan untuk bagi kucing makan, bimbang kucing berak merata-rata,
takut jiran marah pasal kucing berkeliaran dan lain-lain lagi alasan. Persoalan
yang lebih kepada pembiakan kucing.
Jadi kenapa tak buat sesuatu untuk mengekang kucing-kucing
yang dipelihara itu dari terus membiak? Seperti mandulkan ke? “Tak nak
mandulkan sebab kesian dan jawapan lain, eh! boleh ke mandulkan kucing? Mana
boleh berdosa nanti tau”. Kalau kesian dan fikir dosa kenapa buang juga kucing
tu? “Takpe aku buang kucing tu kat kedai makan dan pasar, pandailah kucing tu
cari makan nanti”. Inilah antara alasan yang sering saya dengar dari mulut
pembuang kucing.
Mari kita
renungkan sejenak tentang kenyataan ini :
Menurut fatwa yang dikeluarkan pihak Jabatan Kemajuan Islam
Malaysia (Jakim) pada tahun 2002 berkaitan pemandulan dan pengembirian kucing
dan anjing, hukumnya adalah diharuskan dengan sebab-sebab tertentu demi menjaga
kemaslahatan ummah seperti faktor kesihatan dan menjaga kebajikan haiwan
tersebut dan masyarakat.
Berdasarkan hujah anggota Majlis Ulama Kanan Arab Saudi,
Al-Syeikh Muhammad Soleh al-Uthaimin yang bermaksud: “Adapun mengkasi haiwan,
hukumnya adalah harus jika ada maslahat bagaimanapun, mestilah menggunakan
proses-proses yang dapat mengelakkan daripada menyakiti haiwan tersebut.” (Liqa
al-Bab al-Maftuh 15/37)
Beliau juga menyentuh tentang pengkasian kucing yang
bermaksud: “Jika kucing itu banyak dan menyusahkan manakala proses mengkasi
tidak memudaratkan, ia tidak mengapa kerana mengkasi dalam keadaan ini lebih
baik daripada membunuh haiwan itu selepas ia diciptakan oleh Allah, adapun jika
jumlah kucing itu tidak banyak dan tidak menyusahkan, mudah-mudahan membiarkan
ia berkembang adalah lebih baik.” (Fatwa Islamiyah 4/448).
Keadaan kucing jantan saya "Cik Kam" yang belum sedarkan diri selepas menjalani proses pemandulan |
Berikut adalah maklumat
yang dipetik dari sumber Akhbar Kosmo : Helo...Vet Di Sini Oleh DR. ZURAIDAH GHADZALI.
Ijazah Doktor Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia :
Pelaksanaan
pemandulan juga mempunyai kebaikan atau kelebihan yang tersendiri antaranya :
1 - Membantu mengawal sifat si comel: Kucing jantan tidak
sibuk mencari kucing betina dan si betina pun tidak memanggil-manggil si jantan
untuk mengawan. Ada kemungkinan besar, si jantan akan mula menanda kawasan
dengan air kencing, sekiranya pemandulan tidak dilaksanakan. Sesetengah kucing
mungkin ada sedikit perubahan perlakuan iaitu daripada agresif menjadi lebih
manja. Tidak dinafikan ada juga kucing yang bertambah garang. Cuma peratus
perubahan daripada manja kepada garang adalah sangat rendah.
2 - Mengawal populasi: Khas untuk kucing betina. Mengelakkan
daripada pembiakan luar kawalan dan mengurangkan risiko anak-anak yang baru
lahir dibuang ke pasar atau restoran yang mampu mengakibatkan penderaan,
kecederaan, kemalangan dan kematian.
3 - Mengurangkan risiko jangkitan penyakit berbahaya: Kucing
jantan yang belum dimandulkan lebih cenderung untuk merayau mencari pasangan.
Pertembungan antara dua ekor jantan bakal mengakibatkan pergaduhan. Kecederaan
akibat pergaduhan mampu membawa jangkitan yang serius pada kucing jantan atau
boleh dijangkiti penyakit yang bersifat zoonosis iaitu berjangkit pada manusia
atau haiwan lain. Ia juga mengurangkan risiko jangkitan pada pundi kencing. Bagi
kucing betina, pemandulan membantu mengurangkan risiko jangkitan dalam rahim,
masalah keradangan pada puting susu dan kanser yang melibatkan anggota
peranakan.
4 - Menjimatkan kos: Setelah dimandulkan, si comel cenderung
untuk berada di sekitar kawasan rumah. Ia membantu pengurangan risiko jangkitan
akibat pergaduhan sekali gus membantu menjimatkan kos rawatan dan penjagaan.
Sebelum melakukan pemandulan, sebaik-baiknya si comel diberi
suntikan imunisasi. Ia membantu meningkat imuniti si comel dan menghalang
jangkitan virus berbahaya. Selepas pemandulan, si comel biasanya berada dalam
keadaan stres. Ketika itu, sistem imunisasi akan menurun dan memudahkan
jangkitan berlaku sekiranya tiada perlindungan daripada suntikan imunisasi.
Comments