Seperti mana yang saya ceritakan pada topik permulaan blog
ini, kucing saya Dinas seekor kucing betina mempunyai kekurangan dari segi
penglihatan yang dilahirkan oleh ibunya Chibi, bekas kucing gelandangan. Kedua-dua biji matanya rosak disebabkan tahi mata yang sentiasa
keluar dan melekat seperti gam sewaktu Dinas masih baby.
Sebenarnya ini merupakan pengalaman kali pertama saya
memelihara kucing yang hilang upaya penglihatan dan saya tak menyangka Dinas
boleh hilang penglihatan disebabkan masalah tahi mata melekat yang saya anggap
bukanlah masalah besar kerana saya membersihkan matanya beberapa kali sehari
termasuk membeli ubat mata dari klinik haiwan. Ini juga pengalaman pertama saya
membawa anak kucing berumur kurang 2 bulan ke klinik. Dinas saya letakkan dalam
kotak kasut disebabkan saya belum ada sangkar kecil pada waktu itu dan
menunggang motorsikal ke klinik. Semasa di klinik Dinas menjadi perhatian
pemilik-pemilik kucing yang datang membawa kucing-kucing mereka kerana tertarik
melihat Dinas yang masih baby. Doktor nak memberi suntikan pada Dinas pun tak
boleh sebab usianya yang masih baby pada waktu itu.
Dinas saya anggap kucing yang istimewa walaupun ia hilang upaya
penglihatan kerana ia memberikan pengalaman baru buat saya dalam memelihara
kucing. Berasa kasihan melihatnya beberapa kali terlanggar kerusi, dinding dan
objek-objek yang berada dihadapannya ketika berjalan dan bermain. Memelihara
Dinas semasa ia kecil memerlukan kesabaran. Ini kerana Dinas lambat membiasakan
diri dengan tempat pembuangan najisnya. Walaupun banyak kali menunjuk ajar dan
menggunakan petua letak lidi di pasir namun masih tak berjaya. Setiap hari
selama beberapa bulan Dinas membuang najisnya di merata tempat seperti di bawah
kerusi, meja, karpet, sehinggakan ada karpet yang terpaksa dibuang, dan
termasuklah juga membuang diatas katil tempat tidur saya. Perlulah saya tukar
kain cadar dan bantal setiap hari.
Dari segi makan pula, Dinas tiada masalah untuk makan kerana ia pandai mengesan tempat makan dan minumnya.
Dari segi makan pula, Dinas tiada masalah untuk makan kerana ia pandai mengesan tempat makan dan minumnya.
Dinas amat kuat cemburu dan sensitif. Bila terhidu bau kucing lain selain
Cik Kam (adik-beradiknya), ia pasti marah dan merajuk masuk ke bilik tidur saya. Mungkin takut saya mengabaikannya bila ada kucing lain dalam rumah. Pernah saya membawa balik beberapa ekor anak kucing gelandangan untuk transit
sebelum diserahkan kepada keluarga baru. Tak senang hati Dinas dibuatnya dan
merajuk. Bila kucing-kucing itu sudah tiada dalam rumah, barulah Dinas kembali
ok, tapi selepas itu pula akan membuang
najisnya pada tempat-tempat yang kucing berkenaan sering berada atau
melepak dalam kawasan rumah. Tabiat begini masih kekal diamalkannya sehingga
sekarang.
Bila tiba musim mengawan pula, berkumandanglah suara Dinas
dalam rumah yang nak mengawan. Riuh rendah dibuatnya sehingga boleh didengar
hingga ke tingkat bawah.
Kini Dinas sudah berusia 1 tahun 7 hari. Semakin biasa meneruskan
kehidupan dalam rumah saya dan sudah pandai membuang najis di tempat yang
disediakan. Dinas tidak lagi melanggar kerusi, dinding dan objek-objek yang
berada dihadapannya kerana sudah boleh menganggarkan objek-objek yang berada
dalam kawasan rumah. Saya memelihara Dinas hanya dalam rumah dan takkan
sesekali membenarkannya keluar dari rumah kerana bimbang akan keadaannya yang
kurang upaya penglihatan. Kini Dinas membesar dengan sihat dan suka bermain dalam
kawasan rumah.
Dinas suka makan buah betik & pisang
Sebenarnya, pada mulanya Dinas ingin diserahkan kepada sebuah
keluarga yang berminat memeliharanya sebelum mengetahui matanya mengalami
masalah penglihatan. Namun saya tak jadi menyerahkan Dinas kerana berasa kesian
dan mula rasa sayang padanya. Ini juga kerana bagi saya Dinas memerlukan penjagaan
yang rapi 24 jam sehari dan perlukan kesabaran yang tinggi untuk memeliharanya.
Bekerja sendiri dari rumah, membolehkan saya memberi perhatian kepadanya 24 jam
sehari. Selagi hayat saya ada, saya akan menjaga Dinas dengan sebaik mungkin.
Pengajaran yang saya perolehi, jika terdapat kucing yang
masih kecil ataupun dewasa mengalami sesuatu masalah kesihatan, berilah
perhatian serius atau jangan ambil ringan walaupun masalah kesihatan itu
mungkin dianggap kecil. Jangan abaikannya kerana dikhuatiri boleh merebak atau
menjadi lebih teruk buat kucing-kucing kesayangan kita.
Comments
Veterinary Clinic appointment