Pada pagi semalam sewaktu saya hendak pergi berkerja
sambilan, saya telah disapa oleh seorang makcik yang merupakan jiran saya. Dia
kata “dik boleh tolong tak”? kemudian saya tanya tolong apa Umi (Umi nama
panggilan beliau)? Umi kata ada seekor kucing mati dicampak dari malam tadi
dekat rumah Nora. Nora adalah jiran di hadapan rumah saya.
Kemudian saya pun dengan segera pergi ke rumah jiran
depan rumah. Saya dapati ada seekor kucing telah mati dalam keadaan kaki
belakangnya terkangkang, mulutnya berdarah dan berbau hancing yang kuat.
Berdasarkan pemerhatian terhadap kecederaan yang dialami, saya rasa kucing malang
itu dijatuhkan dari tingkat yang tinggi mungkin tingkat 7 ke atas.
Menurut kata seorang jiran wanita depan rumah saya itu,
beliau terdengar bunyi benda jatuh dan seperti menggelupur pada jam 12 lebih
pagi. Pada mulanya disangka ada orang hendak mencuri atau pecah rumah tapi apabila
beliau intai melalui tingkap dapur rupanya bunyi berkenaan dari seekor kucing
telah jatuh dari tingkat atas.
Pada pendapat saya kucing malang itu bukan kucing
gelandangan atau terbiar. Ia mempunyai tuan kerana saya tidak pernah nampak
kucing berkenaan berkeliaran di tingkat 1 atau bawah. Saya amat yakin bahawa
kucing malang itu telah dengan sengaja dijatuhkan dari tingkat atas dan
dilakukan oleh jiran tetangga yang tidak sukakan kucing atau mungkin berang
kerana kucing itu membuang najis atau kencing merata-rata. Ini kerana terdapat
jiran-jiran wanita yang tidak senang melihat kucing berkeliaran di kawasan
sekeliling.
Imbas kembali screen shoot whatsapp group jiran
tetangga (wanita) :
Sebenarnya ini bukanlah kes atau kejadian kali pertama
berlaku di blok kediaman pangsapuri saya. Ini merupakan kes kejadian kali ke
empat. Tiga kes sebelum ini semua kucing berkenaan hidup tapi ada yang cedera
parah hingga terkeluar janin dan lumpuh akibat patah kaki. Saya juga pernah kongsikan
kisah ini pada artikel saya yang lepas-lepas. Boleh klik pada link berikut
untuk membacanya semula :
Petang semalam selepas pulang dari kerja sambilan saya telah menanam kucing malang itu di kampung saya. Semoga orang atau si pelaku yang menzalimi dan bertindak kejam ke atas kucing malang itu akan mendapat pembalasan pada hari kiamat nanti.
Nyawa setiap binatang juga perlu dipelihara dan tidak
boleh dibunuh sesuka hati secara sewenang-wenangnya. Nabi SAW bersabda:
مَنْ قَتَلَ عُصْفُورًا عَبَثًا عَجَّ إِلَى اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ يَوْمَ الْقِيَامَةِ يَقُولُ يَا رَبِّ إِنَّ فُلاَنًا قَتَلَنِي عَبَثًا وَلَمْ يَقْتُلْنِي لِمَنْفَعَةٍ
Maksudnya: Barangsiapa yang membunuh burung kecil
tanpa sebab, ia akan mengadu kepada Allah SWT pada hari kiamat dan berkata:
Wahai Tuhan, sesungguhnya si fulan telah membunuhku dengan sia-sia tanpa sebab
dan tidak membunuhku kerana sebarang manfaat.
Sunan an-Nasa’ie (4446)
Hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah ra.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Ada seorang lelaki yang sedang berjalan
lalu dia rasa sangat haus sehingga dia turun ke suatu perigi lalu minum dari
air perigi tersebut. Ketika dia keluar dari perigi, dia mendapati ada seekor
anjing yang sedang menjelir lidahnya menjilat-jilat tanah kerana kehausan.
Orang itu berkata: Anjing ini sedang kehausan seperti yang aku rasakan tadi.
Maka dia (turun kembali ke dalam perigi) dan diisinya air ke dalam kasutnya.
Sambil menggigit kasutnya dengan mulut dia naik ke atas lalu memberi anjing itu
minum. Kemudian anjing itu bersyukur kepada Allah maka Allah mengampuninya. Para
sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, adakah kita akan mendapat pahala jika
berbuat baik kepada haiwan? Beliau menjawab: Berbuat baik terhadap setiap
makhluk bernyawa diberi pahala. (riwayat al-Bukhari).
Comments