Pada pagi semalam, sewaktu saya
berada di bahagian dapur rumah, saya terdengar suara anak-anak kecil kejiranan
yang sedang bermain di kawasan bawah pangsapuri tiba-tiba menjadi kecoh
seketika. Memandangan rumah saya di tingkat 1 jadi saya boleh mendengar suara
kanak-kanak yang selalu bermain di tingkat bawah.
anak-anak kejiranan yang baik hati |
Kemudian saya terdengar suara seorang
kanak-kanak lelaki berkata “mama ada orang campak kucing dari atas, nasib baik
kucing ni tak mati”. Saya pun segera membuka pintu dan keluar bertanya dari
atas tingkat 1 “kucing mana yang kena campak dari atas tu?” Kanak-kanak itu pun
menunjukkan saya seekor kucing jantan berwarna oren. Saya pun turun ke bawah
untuk melihat keadaanya lebih dekat.
Sebenarnya kucing oren ini memang
selalu berkeliaran di blok pangsapuri saya dan adakalanya dia naik ke tingkat
atas. Dia pun selalu makan makanan yang saya sediakan di tingkat bawah dan di
luar rumah saya di tingkat 1. Ia
sebenarnya kucing terbiar.
Pandangan mata kasar saya tidak
nampak kucing itu mengalami luka atau kecederaan luaran. Apabila saya hendak
memegangnya dia lari ke bawah kereta mungkin kerana berasa takut dan trauma.
Nampak dia berjalan dan berlari dengan elok dan tidak tempang. Bermakna kakinya
tidak mengalami kecederaan. Menurut kata dari salah seorang kanak-kanak yang berada
di lokasi bawah, dia ternampak kucing itu dicampak dari tingkat 3 tapi dia
tidak tahu siapa yang mencampaknya.
Saya membiarkan kucing itu berlindung
di bawah kereta kerana mahu dia bertenang dan saya akan memantau keadaannya
nanti. Jika melihat ada sesuatu yang tidak kena dengannya nanti, saya akan
bawanya ke klinik kerana khuatir mungkin terdapat kecederaan dalaman.
Kucing-kucing terbiar mahupun kucing-kucing
yang ada tuan yang dibela dan diberi kebebasan berkeliaran di luar rumah sama
ada di kawasan perumahan bertingkat atau pun rumah teres, akan berdepan dengan
risiko dizalimi oleh jiran tetangga yang tidak sukakan kucing. Beginilah nasib
si kucing.
Comments