Di lokasi lebuhraya yang saya
kunjungi setiap hari untuk memberi makan pada kucing-kucing gelandangan di
situ, bukan saja terdapat kucing-kucing jantan dan betina bunting yang dibuang
oleh tuannya, tapi terdapat juga kucing gelandangan yang sudah lama hidup di
situ hasil daripada pembiakan yang turut menyumbang kepada penambahan bilangan
kucing. Ini antara penyebab bertambahnya
kucing-kucing gelandangan di hentian lebuhraya berkenaan.
Sebenarnya penambahan jumlah atau
bilangan kucing gelandangan di beberapa lokasi berkenaan amat membimbangkan
saya. Mana tidaknya bimbang nanti pihak pemilik tempat berkenaan akan mengusir
atau membuang kucing-kucing itu ke tempat lain atau meminta pihak berkuasa
tempatan untuk mengambil tindakan iaitu menangkap dan melupuskan kucing-kucing
berkenaan.
Jadi untuk mengurangkan bilangan
kucing-kucing gelandangan itu, saya akan mengiklankan anak-anak kucing yang
sudah putus susu atau berusia 3 bulan ke atas di laman facebook dan melalui
saluran lain juga untuk mencari keluarga angkat yang sudi dan boleh ambil
tanggungjawab untuk menjaga mereka. Kenapa saya hanya mencarikan keluarga
angkat untuk anak-anak kucing saja? Ini kerana kebiasannya adalah agak sukar
untuk mencari mereka atau keluarga angkat yang sudi atau boleh ambil tanggungjawab
untuk menjaga ibunya sekali atau kucing-kucing yang sudah dewasa.
Namun terdapat juga anak-anak kucing
yang gagal mendapat keluarga angkat yang sudi dan boleh ambil tanggungjawab
menjaga mereka walaupun saya telah mengiklankannya beberapa kali di group
facebook berkaitan kucing dan di saluran lain. Sekiranya mereka gagal medapat
keluarga angkat, terpaksalah mereka terus hidup di hentian lebuhraya ini. Maka
bertambahlah bilangan kucing gelandangan di hentian lebuhraya berkenaan.
Seperti biasa saya akan beri mereka makan setiap hari. Hanya itu saja yang
berupaya saya lakukan.
Ada juga yang menyuruh saya pindahkan
kucing-kucing itu ke tempat lain. Tapi pada saya itu bukanlah mudah dan saya
takkan sesekali memindahkan mereka begitu saja selagi tidak mendapat keluarga
angkat yang sanggup menjaga mereka sebaiknya.
Penambahan bilangan kucing-kucing
gelandangan, sudah pastilah akan menyebabkan peningkatan kuantiti makanan yang
perlu saya sediakan setiap hari untuk memberi kucing-kucing itu makan. Di
hentian lebuhraya ini memang tiada kedai makan dan jauh dari kawasan perumahan.
Ini bermakna tiada sumber membolehkan kucing-kucing itu mencari sisa-sisa
makanan untuk dimakan.
Semoga kucing-kucing yang hidup gelandangan
di hentian lebuhraya itu akan selamat tinggal disitu dan saya juga berharap diberikan kesihatan yang
baik dan rezeki agar dapat meneruskan aktiviti sukarela memberi kucing-kucing
jalanan / gelandangan yang kelaparan itu makan setiap hari terutamanya di lokasi
yang tiada sumber membolehkan kucing-kucing itu mendapatkan makanan.
Comments