Pagi tadi saya bersarapan di sebuah
restoran yang saya selalu kunjungi. Kelihatan seekor kucing betina berwarna
hitam yang saya yakin dia baru dibuang disini kerana saya selalu berkunjung ke
restoran ini dan selalu memerhati keadaan sekeliling untuk mencari kucing jika
ada. Sebelum ini saya tidak pernah nampaknya di kawasan restoran berkenaan.
Disebabkan saya tak sempat hendak
membawa makanan kucing, jadi saya membeli seketul ayam goreng dan memberi
kepadanya. Kemudian dia mengonggong ayam goreng itu ke bawah gerai. Mungkin dia
berasa takut dan tak selesa hendak makan di tempat terbuka.
Sebenarnya saya agak risau akan
keselamatan dirinya jika dia terus berada di kawasan restoran itu kerana lihat pekerja-pekerja
restoran itu tidak mesra pada kucing. Saya bimbang dia akan dihalau oleh pekerja
restoran atau dizalimi oleh pekerja dan pengunjung restoran berkenaan bila dia berpeleseran
meminta simpati untuk mendapatkan makanan. Yelah bukan semua orang sukakan
kucing. Semoga kucing malang itu selamat daripada kezaliman manusia.
Dulu di restoran ini saya pernah
menyelamatkan seekor kucing jantan berwarna hitam putih yang dibuang oleh
tuannya yang zalim dan keadaannya tempang akibat terdapat bisul dikakinya. Saya
selalu nampak kucing ini dihalau dan disepak oleh pengunjung restoran. Beginliah
nasib yang akan dialami oleh kucing-kucing yang dibuang oleh mereka yang tidak
bertanggungjawab. Kucing yang dibuang bukan sahaja menderita kelaparan tetapi turut
juga dizalimi. Disebabkan terlalu kesian melihat keadaannya, saya pun
mengambilnya dan meminta pertolongan daripada sebuah Pusat Perlindungan Kucing
untuk merawat dan menjaganya. Tapi akhirnya saya dimaklumkan kucing itu tak
dapat diselamatkan dan akhirya mati disebabkan jangkitan kuman dari luka bisulnya
yang telah merebak.
Tolonglah hentikan pembuangan kucing!
Buang kucing adalah perbuatan zalim yang boleh menyebabkan kucing itu hidup menderita.
Comments