Kawasan kediaman rumah pangsapuri saya memang selalu menjadi sasaran tempat
membuang kucing. Boleh dikatakan hampir setiap minggu pasti akan terdapat
kucing yang dibuang disini. Dari anak kucing yang masih kecil belum putus susu hinggalah
kucing dewasa yang sudah tua dan sakit.
Saya berasa simpati melihat
kucing-kucing yang dibuang itu lalu saya pun menyediakan bekas makanan dan air
di beberapa tempat termasuk di luar rumah saya. Bukan hanya memberi mereka
makan sahaja tapi saya turut membantu mereka untuk mendapatkan keluarga angkat
yang sudi dan boleh ambil tanggungjawab menjaga mereka. Ada juga yang berjaya
mendapat keluarga angkat.
Bagi yang gagal mendapatkan keluarga
angkat, saya akan beri mereka makan setiap hari di luar rumah serta di bawah
flat dan juga memantau keadaan mereka. Ada juga beberapa ekor kucing yang saya
ambil dan jaga mereka dalam rumah terutamanya anak kucing yang masih kategori
bayi. Saya tak sampai hati membiarkan mereka di bawah flat.
Namun apa yang menyedihkan, ada
beberapa ekor kucing yang saya beri mereka makan setiap hari itu, sudah tidak
keliahatan lagi. Saya syak mereka telah dibuang oleh jirang tetangga ke tempat
lain. Ini memang pernah terjadi dan bukanlah saya sengaja membuat tuduhan
kerana ada beberapa ekor kucing yang saya jumpa mereka di kedai makan dan di
tepi jalan dalam kawasan perumahan. Sungguh malang nasib mereka. Dibuang buat
kali kedua.
Yang terbaru, dua ekor kucing jantan
yang biasa saya beri makan telah hilang dan tak muncul-muncul hingga kini.
Biasanya saya tahu di mana mereka selalu berada kerana saya selalu memantau keadaan
mereka walaupun saya tidak menjaga mereka dalam rumah. Apalah nasib mereka. Dimanakah
mereka dibuang? Kenapalah pihak berkenaan membuang mereka. Sedih saya dibuatnya
bila mengenangkan kucing-kucing itu.
Comments