Terkejut
melihat seorang jiran warga emas mengejar seekor kucing gelandangan yang baru
dibuang sambil berteriak marah.
Kebanyakkan
kucing yang berkeliaran di blok kediaman saya adalah kucing gelandangan yang
menumpang teduh setelah mereka dibuang oleh pihak yg tidak bertanggungjawab.
Boleh dikatakan setiap minggu akan terdapat kucing dibuang bawah blok kediaman
saya. Mereka terpinga-pinga dan tidak tahu hendak ke mana. Jadi kucing-kucing
itu merayap untuk menyesuaikan diri di tempat baru dan juga berkeliaran mencari
makanan untuk mengisi perut mereka yang lapar.
Pernah
beberapa kali terjadi kes penduduk buang kucing gelandangan dari tingkat atas.
Ada kucing yang mati, cedera parah yang menyebabkan kucing itu lumpuh beberapa
bulan, terkeluar janin dan lain-lain lagi. Mungkin ada penduduk yang tidak
berpuashati terhadap najis atau tahi kucing.
Jadi
hal ini telah mendorong saya untuk melakukan kerja sukarela mengutip dan membersihkan
tahi kucing di blok kediaman saya supaya
jiran tetangga tidak menganiaya atau ganggu kucing-kucing yang berkeliaran di
luar sana. Sedikit sebanyak diharapkan dapat mengurangkan aduan atau rungutan
penduduk berkaitan tahi kucing.
Tapi
malangnya terdapat seorang jiran tetangga warga emas yang tinggal setingkat
dengan saya iaitu di tingkat 1, selalu berasa tidak berpuashati dengan kucing yang
berkeliaran. Pernah dia baling seekor kucing jantan dengan selipar di hadapan
isteri saya. Dia juga tahu kami suami isteri memang sukakan kucing dan ada jaga
/ bela kucing dalam rumah. Walaupun saya ada menjaga sebilangan kucing dalam
rumah, saya tidak pernah membiar atau melepaskan kucing saya berkeliaran di
luar rumah kerana saya tidak mahu jiran tetangga berasa tidak selesa dengan
kehadiran kucing.
Saya
faham bukan semua orang sukakan kucing. Tapi saya ada letakkan makanan biskut
kucing di bawah blok supaya kucing-kucing gelandangan yang kelaparan dapat
makan. Jika saya beri makan pada kucing-kucing gelandangan, saya tidak kotorkan
kawasan. Saya hanya beri makanan biskut kucing yang kering. Bukannya makanan
basah. Itu pun saya letakkan bekas makanan dan air di tempat yang tidak
menganggu laluan penduduk atau jiran tetangga.
Baru-baru
ini pula saya nampak dia mengejar seekor kucing gelandangan yang naik ke
tingkat 1 dengan penyapu sambil menjerit tidak puashati dengan kucing yang
tidak bersalah itu Suaranya boleh didengar hingga ke dalam rumah saya. Dia
kejar sekeliling tingkat 1. Saya lihat kucing yang dia kejar itu sebenarnya
baru dibuang pada minggu lepas di blok kediaman saya.
Kalau
nak kata dia tidak berpuashati terhadap tahi kucing, saya lihat pada hari
kejadian dia mengejar kucing itu, tiada pula tahi kucing di kawasan luar
rumahnya. Pintu rumahnya juga selalu tertutup rapat dengan pagar besi geriji
grill dan dikepung dengan jaring. Jika terdapat tahi kucing sudah pastilah saya
akan kutip dan bersihkan.
Saya
sudah berpesan banyak kali kepada dia, jika ternampak tahi kucing beritahu saja
saya. Saya akan kutip dan bersihkan tanpa mempersoalkan tahi kucing siapa.
Pernah beberapa kali saya kutip tahi kucing di hadapan dia. Dia bukannya tak
biasa melihat saya berbuat begitu. Saya tidak kisah sama ada tahi dari kucing
bertuan atau kucing gelandangan. Saya tidak pernah merungut selama buat kerja
sukarela ini.
Saya
buat kerja sukarela ini bukannya kerana hendak mengejar pahala. Saya tidak
terfikir soal pahala. Cuma apa yang saya harapkan adalah supaya penduduk atau
jiran tetangga tidak aniaya atau buat sesuatu yang tidak baik terhadap kucing. Sebagai
pencinta kucing, saya tidak sanggup melihat kucing dianiaya dan menderita
kelaparan.
Kucing
adalah makhluk bernyawa sama seperi kita yang ingin meneruskan kehidupan selagi
bernyawa dan akan pergi bila tiba masanya. Cuma perbezaan antara kita dengan
kucing, kita manusia mempunyai pelbagai kelebihan luar biasa berbanding dengan
kucing. Janganlah menafikan hak kucing untuk hidup di dunia ini. Semoga Allah
swt mengurniakan kita akhlak terpuji dan memberi kita ganjaran atas kebaikan
yang kita lakukan terhadap kucing dan juga haiwan bernyawa yang lain.
Comments
Kita dilahirkan kebumi ini utk menajalani tanggung jawab sesama makhluk. Kerana diakhirat nanti segala kebaikan dan amalan akan diadili didepan Allah swt.