Berasa
kesian melihat keadaan mukanya yang comot akibat selsema yang teruk dan lemah.
Berdasarkan pengalaman saya ia boleh menyebabkan keadaannya menjadi bertambah
teruk jika tidak dirawat segera.
Pada
pagi semalam 02hb Disember 2019 sewaktu hendak memberi makan pada kucing-kucing
gelandangan di sebuah kedai makan yang biasa saya kunjungi, saya dapati seekor
kucing gelandangan jantan berwarna hitam putih itu kelihatan momyok, comot dan
sakit. Ia telah menumpang hidup di kedai makan itu sejak tahun 2016 lagi.
Ia
seperti mengalami selsema yang teruk dan khuatir juga ada mengalami masalah
lain. Melihat keadaannya mengingatkan saya pada seekor kucing gelandangan oren
yang pernah saya bantunya dulu. Keadaannya lebih kurang begitulah. Saya sangka
ia hanya mengalami masalah selsema teruk. Tapi bila saya bawanya ke klinik
haiwan untuk rawatan, doctor kata terdapat juga serangan virus. Akhirnya
selepas 2 hari kucing oren itu mati.
Inilah
yang merisaukan saya. Kemudian saya telah berkongsi kisah kucing jantan sakit
ini ke facebook peribadi saya. Alhamdulillah selepas itu seorang hamba Allah yang berhati mulia (En. Zul) yang selalu membantu saya melalui sumbangan kewangan, telah hubungi
saya melalui whatsapp. Beliau menyuruh saya bawa kucing jantan gelandangan itu ke klinik bagi menerima
rawatan dan akan memberi sumbangan.
Saya
berasa terharu kerana tanpa pertolongan saudara Zul sudah tentulah saya tidak
dapat membawa kucing itu menerima rawatan nanti. Memandangankan semalam bukanlah
hari cuti rehat, jadi saya pun mohon tukar hari cuti rehat yang sepatutnya pada
setiap hari Jumaat supaya saya dapat membawa kucing itu ke klinik. Saya mohon
kepada Penyelia saya untuk ambil cuti rehat semalam (Isnin) dan beliau telah
bersetuju dan meluluskan. Untuk makluman, saya bekerja sambilan secara kontrak
sebagai pengutip sampah di sebuah highway.
Selepas
itu saya pun bersiap sedia untuk pergi semula ke kedai makan itu untuk membawa
kucing itu ke klinik. Memandangkan klinik haiwan yang biasa saya kunjungi di
Bandar Tasik Puteri, Rawang tutup pada setiap hari Isnin, jadi saya buat
keputusan untuk pergi ke sebuah klinik haiwan di Sungai Buloh, Selangor.
Jaraknya sudah tentu lebih jauh tapi tidak mengapa kerana saya rasa selesa
berurusan dengan klinik berkenaan.
Setibanya
saya di kedai makan berkenaan, saya dapati kucing itu tiada di situ. Mungkin ia
telah bergerak ke tempat lain atau tidur di suatu tempat. Kemudian saya
bertanya dan menunjukkan gambar kucing itu kepada Pembantu Kedai / Tukang
Masak. Dia kata biasa memang ada di sini atau melepak di sebuah rumah
berhampiran kedai makan itu. Selepas itu dia pun turut membantu saya mencari
kucing itu.
Puas
kami cari merata tempat tapi kucing itu tidak kelihatan. Saya tunggu di kedai
makan itu sejam lebih. Manalah tahu ia akan muncul semula. Tapi ia masih tidak
kelihatan. Lalu saya buat keputusan untuk pulang dulu kerana ada urusan yang
hendak saya uruskan. Bagaimanapun saya telah meminta pertolongan pekerja indon
itu jika ternampak kucing berkenaan, tolonglah perhatikan ke mana ia pergi
supaya saya boleh mencarinya nanti.
Pada
sebelah petang kira-kira pukul 6 petang, sekali lagi saya ke kedai makan itu. Kucing
jantan itu masih tidak kelihatan di situ. Saya pulang ke rumah dan akan datang semula
pada sebelah malam pula. Kemudian hampir pukul 10 malam saya ke kedai makan itu
lagi. Pekerja Indon itu menyambut saya dan berkata beliau telah menemui kucing
jantan hitam putih itu. Ia berada di dapur kedai makan berkenaan.
Alhamdulillah.
Saya pun segera ke dapur dan masukkannya ke dalam sangkar kecil. Selepas itu
saya pun bersembang-sembang dengan tuan kedai hinggalah hampir pukul 11 malam.
Mujur tuan kedai pun sukakan kucing. Ia juga selalu beri makan pada
kucing-kucing gelandangan yang terdapat di kedainya.
Comments