Skip to main content

TREND ORANG BUANG KUCING DI HIGHWAY : SEDIH JUMPA 3 EKOR KUCING MATI HARI INI

Tragis : Tiga ekor kucing ditemui mati akibat dilanggar dan digilis kenderaan di highway.
Hari ini seperti biasa saya bekerja sambilan di sebuah highway sebagai Pengutip Sampah dan saya perlu membuat rondaan dengan motorsikal sejauh 35km di kawasan yang telah ditetapkan untuk mengutip sampah-sampah yang dibuang oleh pengguna highway.

Setelah membuat rondaan kutipan sampah sejauh kira-kira 20km, tiba-tiba saya ternampak suatu objek kecil di laluan kecemasan / motorsikal. Objek itu kelihatan hancur dan berbulu berwarna oren. Lalu memberhentikan motorsikal untuk melihat dengan lebih teliti. Rupanya ia adalah seekor anak kucing yang telah mati digilis oleh kenderaan mungkin oleh penunggang motorsikal berdasarkan pada keadaanya yang amat menyedihkan.
Kemudian saya pun bergerak semula untuk mengutip sampah. Tiba-tiba selepas jarak dalam 50 meter di laluan kecemasan / motorsikal juga, saya telah ternampak seekor lagi anak kucing berwarna oren seakan sama seperti anak kucing yang saya temui sebelumnya. Kali ini agak jelas kerana keadaannya tidaklah seteruk anak kucing tadi. Rasa sedih dibuatnya apabila melihat keadaan kedua-dua anak kucing yang telah mati dipercayai digilis motorsikal berdasarkan keadaannya.
Saya syak anak-anak kucing yang ditemui mati ini telah dengan sengaja dibuang di situ kerana sebelum saya sampai di lokasi berkenaan, saya telah menjumpai satu guni di tepi jalan. Semasa saya jumpa guni berkenaan pun  telah berperasangka “jangan-jangan ada orang buang kucing kot”.
Tiba-tiba saya teringat semalam pun sebenarnya telah menjumpai seekor kucing dewasa juga berwarna oren mati di lokasi berdekatan anak-anak kucing itu ditemui. Mungkinkah kucing dewasa berwarna oren yang mati digilis kenderaan semalam adalah ibunya? Pendapat peribadi saya mungkin juga. Tidak mustahil kerana lokasinya saling berdekatan.
Selepas itu saya pun bergerak untuk menjalankan tugas. Kemudian dalam jarak lebih kurang 3km untuk menghabiskan rondaan, tiba-tiba di bahagian tengah pembahagi jalan, saya telah ternampak seekor kucing sedang terbaring. Kali ini bukanlah anak kucing tapi kucing dewasa. Dari tepi jalan saya perhati terdapat kecederaan teruk di bahagian belakang kucing malang itu. Saya pun melintas jalan untuk mendekatinya dan saya dapati kucing malang itu sudah tidak bernyawa lagi akibat mengalami kecederaan dilanggar kenderaan.
Sebagai pencinta kucing kejadian yang berlaku hari ini amat menyedihkan saya. Walaubagaimanapun Ini bukanlah kejadian kali pertama yang pernah saya saksikan. Sebelum ini pun saya telah menjumpai 3 ekor kucing mati dilanggar dan digilis kenderaan di highway tempat saya bekerja sambilan ini. Sebelum ini seekor kucing dewasa dan dua ekor anak kucing yang kebetulan berwarna oren juga.

Boleh baca dan imbas semula entri yang pernah saya kongsikan berkenaan penemuan kucing-kucing yang mati di highway yang sama akibat dilanggar dan digilis kenderaan.
Klik atau sentuh disini :

Berdasarkan pemerhatian dan pengalaman saya yang memberi makan setiap hari pada kucing-kucing gelandangan di tujuh hentian sebelah highway yang tiada kedai makan serta jauh dari kawasan kediaman manusia dan juga di R&R, saya dapati kini pembuang kucing bukan saja sanggup buang kucing di kawasan kedai-kedai makan.
Seorang Peronda Lebuhraya juga pernah bercerita kepada saya yang beliau pernah menyelamatkan beberapa ekor kucing yang dibuang di highway tempat saya bekerja ini. Beliau juga menceritakan pernah melintas ke tengah pembahagi jalan untuk menyelamatkan kucing yang di buang. Mustahil kucing itu sesat kerana di kawasan jalan yang beliau temui kucing berkenaan tiada kediaman manusia dan lot kedai.

Tapi kini pembuang kucing tergamak buang kucing di kawasan highway yang tidak selamat buat kehidupan kucing kerana kawasan berkenaan sibuk dengan kenderaan yang menggunakan highway. Tambahan pula dibuang di kawasan yang kiri kanan jalan hanya terdapat ladang kelapa sawit bermakna tiada tempat berteduh dan tiada sumber membolehkan kucing yang dibuang itu mendapatkan makanan. Perbuatan ini sangat kejam dan menganiaya kucing yang dibuang itu.

Menganiaya binatang juga dilarang sama sekali. Pernah suatu ketika para sahabat Nabi SAW ketika dalam perjalanan bersama Nabi berhenti disuatu tempat. Kemudian ada sahabat baginda SAW yang terlihat dua ekor anak burung di dalam sarang lalu mengambilnya.

Lalu ibu burung itu kembali ke sarang mencari-cari anaknya. Rasulullah SAW kemudian datang dan berkata: “Siapakah yang menyakiti burung ini (perasaannya) dengan mengambil anaknya? Pulangkanlah anaknya kepadanya.” (riwayat Abu Daud).

Comments