KEJAM DAN ZALIM : JUMPA SEEKOR KUCING JANTAN SEDANG KEHAUSAN DAN HILANG ARAH AKIBAT DIBUANG DI KAWASAN HIGHWAY
Pada mulanya kucing malang ini hampir dilanggar sebuah
kereta ketika hendak meyeberangi jalan. Namun bernasib baik kerana kereta
berkenaan memperlahankan keretanya.
Terkejut saya apabila melihat seekor kucing di kawasan
highway (dalam negeri Selangor) tempat saya bekerja sambilan sebagai pengutip
sampah. Kejadian ini berlaku pada pukul 2 petang tadi sewaktu saya sedang
membuat rondaan dengan motorsikal untuk mengutip sampah-sampah yang dibuang
oleh pengguna highway. Tiba-tiba saya ternampak seekor kucing sedang berjalan
bagai hilang arah dengan lidahnya yang terjelir akibat kehausan kerana pada ketika
itu cuaca sedang panas.
Kemudian saya memberhentikan motorsikal dan memanggilnya
kerana hendak memberinya air dan juga makanan (kibble) yang saya bawa. Tetapi ia
lari melintas jalan dan hampir dilanggar oleh sebuah kereta namun ia bernasib
baik kerana pemandu kereta itu sempat memperlahankan keretanya. Selepas itu
saya pun berjalan mengekorinya dan saya nampak ia lari berhampiran longkang.
Saya kehilangan jejaknya. Saya tidak menyangka ia boleh hilang atau menyorok
dengan begitu cepat. Saya sangka mungkin ia telah lari naik ke atas bukit. Tapi
takkanlah begitu cepat.
Saya perhatikan betul-betul akhirnya saya nampak ia
sedang bersembunyi di semak sambil lidahnya masih terjelir-jelir. Kemudian
sekali lagi saya ingin mendekatinya tetapi sekali lagi ia lari dan kali ini ia
telah naik ke atas bukit. Membuatkan saya rasa panik kerana takut saya tidak
berupaya menjejakinya dan risau keadaannya jika tidak dapat menjinakkannya
untuk dibawa keluar dari kawasan berkenaan sudah tentu ia boleh mati kerana di
atas puncak bukit berkenaan tiada tempat berteduh apalagi sumber makanan
buatnya.
Saya buat keputusan untuk terus mengekorinya lalu saya
pun mula naik ke bukit melalui longkang. Mujur longkang berkenaan dibuat
seperti tangga jadi mudahlah saya hendak naik ke atas. Walaupun saya mengalami
masalah sakit lutut, perut pula kosong kerana tidak makan tengahari dan cuaca
pun panas. Namun saya gagahkan diri untuk naik ke atas bukit berkenaan.
Saya hampir rasa berputus asa kerana kepenatan dan
berasa seolah-olah saya tidak mempunyai harapan untuk menemui kucing malang
itu. Tapi dengan niat ingin membantu menyelamatkan kucing berkenaan, saya tetap
meneruskan langkah naik ke atas sehinggalah saya nampak ia seakan sudah tidak
berupaya melarikan diri lagi dan duduk di longkang berkenaan serta tidak
berganjak bila saya mendekatinya.
Ia bagaikan telah menyerah diri dan tidak lagi melarikan
diri mungkin kerana telah kepenatan serta kehausan. Mujurlah ia duduk di tangga
berkenaan. Kalau ia menyorok atau bersembunyi dalam semak sudah tentu saya
tidak dapat menemuinya. Saya terus membelainya dengan mengusap kepalanya berulang
kali selama beberapa minit supaya ia berasa tenang dan tidak takut dengan saya
lagi.
Alhamdulillah ia tidak lagi berasa takut dengan saya
dan kemudian saya mendukungnya untuk dibawa turun dari bukit berkenaan. Tinggi
juga bukit yang saya naik itu dan saya perlu berhati-hati menuruni bukit dengan melangkah turun melalui longkang.
Sewaktu menuruni bukit juga saya dapati sesekali kucing jantan ini seakan
meronta-ronta kecil tapi saya masih dapat mengawal keadaannya.
Sampai juga saya ke bawah bukit dalam keadaan selamat.
Kamudian saya memasukkannya ke dalam beg sandang saya. Saya telah buat
keputusan untuk bawanya ke sebuah hentian highway yang saya kunjungi setiap
hari untuk beri kucing-kucing gelandangan di sana makan. Hendak bawanya pulang
ke rumah memang sukar kerana ketika itu saya sedang bertugas dan tambahan pula
jarak rumah saya dari tempat berkenaan agak jauh iaitu sejauh 35km dan bukan
itu saja saya juga perlu membuat pusingan U yang jaraknya juga amat jauh.
Akhirnya saya telah bawanya ke hentian highway yang
saya maksudkan itu. Saya berinya air dan letakkan makanan biskut kucing tapi ia
tidak mahu makan. Ia terpinga-pinga kerana tidak biasa dengan keadaan
sekeliling yang baru serta asing buatnya. Kemudian ia berjalan perlahan-lahan
dan bersembunyi dalam lubang longkang yang biasanya kucing-kucing gelandangan
di highway ini menjadikan tempat persembunyian mereka.
Insya Allah saya yakin ia akan selamat di hentian
highway berkenaan. Sekurang-kurangnya ada tempat untuk ia berteduh. Soal
makanan serta air tiada masalah kerana di lokasi berkenaan saya memang ada
meninggalkan makanan dalam bekas serta air. Semoga kucing itu dapat
menyesuaikan dirinya dengan dunia kehidupan baru di hentian highway berkenaan.
Berdasarkan pengamatan saya, saya rasa kucing jantan ini manja dan jinak dengan
tuannya. Tapi entah siapalah yang tergamak membuangnya ke kawasan highway yang
tiada tempat berteduh dan tiada sumber membolehkannya mendapatkan makanan.
Zalim dan kejamnya.
Comments