Bila ada kelapangan masa saya akan meronda dari bawah
blok hinggalah ke tingkat 10 di kawasan blok kediaman pangsapuri yang saya
tinggal untuk mencari najis-najis kucing. Jika ada saya akan kutip dan
bersihkan. Saya juga ada pemberi maklumat yang akan memberitahu saya jika
terdapat najis kucing di kawasan blok. Tidak kiralah sama ada najis dari kucing-kucing
yang ada tuan mahupun najis kucing gelandangan, tanpa soal saya pastikan kutip
dan bersihkan.
Tapi pemerhatian saya bukanlah kerap terdapat najis
kucing di merata tempat seperti yang digembar-gemburkan oleh penduduk
terutamanya jiran-jiran wanita yang tidak sukakan kucing. Mereka bercerita seolah-olah
di blok kediaman saya ini bertebaran najis kucing merata tempat. Keadaan sebenarnya
tidaklah begitu. Saya pun jarang jumpa najis kucing di merata tempat seperti
yang mereka ceritakan di group whatsapp jiran tetangga.
Tempat biasa yang saya jumpa najis kucing adalah di
tingkat bawah. Tingkat bawah tiada unit kediaman dan ianya adalah ruangan
kosong yang juga menempatkan parking motorsikal serta pejabat kecil Perbadanan
Pengurusan. Itu pun najis-najis kucing tidaklah bertaburan merata-rata.
Kucing-kucing yang membuang najis di tingkat bawah itu tidak berak di laluan
penduduk mahupun di kawasan lobi lift. Mereka berak di pasir yang terdapat di
celah-celah batu. Jarang sekali saya jumpa najis kucing di laluan penduduk dan
di tempat parking motorsikal.
Di blok kediaman saya ini terdapat pekerja pembersihan
yang bertanggungjawab membersihkan kawasan persekitaran blok. Setiap hari saya
perhatikan terdapat juga sampah yang dibuang oleh penduduk sesuka hati di
kawasan bawah blok contoh seperti pembalut atau pembungkusan makanan ringan, botol
/ tin minuman ringan, kotak serta puntung rokok, kertas-kertas iklan dan
lain-lain.
Kenapa saya buat aktiviti sukarela kutip dan bersihkan
najis kucing di blok kediaman saya? Saya tidak mahu jiran tetangga tangkap dan
buang kucing-kucing yang berkeliaran di kawasan blok kediaman saya. Saya tidak
mahu mereka jadikan najis kucing sebagai alasan untuk membolehkan mereka
bertindak membuang kucing-kucing berkenaan. Namun apa yang mengecewakan saya
mereka tetap juga tangkap dan membuang kucing-kucing yang tidak bersalah itu.
Mereka telah menyalah gunakan kenyataan seorang Mufti baru-baru ini bagi menghalalkan
tindakan mereka.
Sudah 4 tahun saya memberi makan pada kucing-kucing
gelandangan yang hidup terbiar akibat dibuang di kawasan blok kediaman saya
ini. Kucing-kucing itu semuanya kelaparan kerana tidak mendapat makanan. Sebagai
pencinta kucing saya tidak sanggup melihat kucing-kucing itu kelaparan. Jadi
saya letakkan bekas makanan serta air di bawah blok kediaman. Bekas makanan dan
air yang saya letakkan bawah blok kediaman tidaklah mengotorkan kawasan
berkenaan dan tidak menganggu laluan penduduk.
Kalau nak bangkitkan isu kekotoran dan kebersihan
kawasan blok kediaman saya ini memang banyak. Untuk pengetahuan anda saya telah
tinggal di kediaman pangsapuri ini selama 13 tahun. Apa yang saya dapati
kebanyakan kekotoran itu adalah berpunca daripada sikap penduduk itu sendiri
yang tidak menjaga kebersihan kawasan sekeliling. Sebab itulah ramai penduduk
yang terkena serangan demam denggi. Saya juga pernah buang dan bersihkan
kotoran di kawasan luar rumah saya seperti air sampah busuk yang meleleh keluar
ketika jiran membawa keluar sampah dari rumah untuk dibuang ke tempat
pembuangan sampah. Adakalanya terdapat anak jiran yang suka membuang air kecil
di laluan koridor berdekatan pintu rumah saya hingga menyebabkan bau hancing.
Ada juga kisah penduduk di tingkat atas yang membuang tuala wanita yang
bertepek darah kemudian jatuh di ruang luar dapur rumah saya dan najis manusia
juga pernah dibuang dari tingkat atas.
Oleh yang demikian, pada pendapat saya adalah tidak
adil sekiranya ada pihak mendakwa hanya kerana kucing sahajalah yang
menyebabkan keadaan kebersihan kawasan kediaman menjadi teruk dan tidak
terkawal. Sekali lagi saya ingin ungkapkan ; Kenapa kita begitu lantang serta
tegas dalam isu soal jiran yang membela kucing dan memberi makan pada kucing-kucing
gelandangan? Kenapa kita anggap ringan dan buta tuli soal lain-lain
permasalahan di kawasan kejiranan contoh seperti masalah sampah-sarap yang
dibuang merata-rata, menghalang kenderaan lain di kawasan parkir, masalah
pembiakan nyamuk aedes, kerosakan harta bersama atau kemudahan penduduk akibat
vendalisme, kecurian motorsikal serta aksesori / komponen yang kerap berlaku,
bersekedudukan tanpa ikatan sah serta masalah sosial dan lain-lain isu lagi?.
Comments