Abam adalah seekor kucing jantan yang hidup
gelandangan di sebuah hentian highway yang tiada kedai makan dan jauh dari
kediaman manusia.
Semalam 28hb September 2019 – Sabtu semasa saya sedang
bertugas membuat rondaan dengan motorsikal di kawasan highway untuk mengutip
sampah-sampah yang dibuang oleh pengguna highway, tiba-tiba di suatu lokasi saya
ternampak seekor kucing berwarna hitam putih terbaring di atas rumput. Lalu
saya memberhentikan motorsikal untuk melihat dengan lebih dekat lagi.
Saya berasa terkejut melihat kucing yang telah kaku
akibat mati dilanggar kenderaan dan mengalami kecederaan teruk pada bahagian
muka serta belakangnya itu kerana saya kenal ia adalah seekor kucing jantan
gelandangan yang hidup bergelandangan di sebuah hentian highway jaraknya 4km
dari lokasi berkenaan. Saya panggilnya Abam kerana saiz badannya besar dan
sado.
Tapi apa yang menghairankan saya adalah bagaimana Abam
boleh sampai ke lokasi ia ditemui mati itu. Untuk ke lokasi yang jaraknya 4km
dari dari hentian highway berkenaan, Abam perlu melepasi atau melintas jalan
besar. Hendak kata Abam pergi berjalan mencari makanan atau ingin mengawan,
pada saya tidak munasabah kerana saya ada tinggalkan makanan dan di hentian
highway itu juga terdapat beberapa ekor kucing betina.
Saya telah berkunjung ke hentian highway yang tiada
kedai makan serta jauh dari kediaman manusia iaitu tempat di mana Abam hidup
gelandangan. Saya telah ke situ sejak tahun lepas untuk memberi makan pada kucing-kucing
gelandangan yang terdapat di hentian highway itu. Kini sudah setahun lima bulan
saya mengenali kucing-kucing di situ termasuklah Abam.
Pada mulanya Abam sukar didekati tapi selepas setahun
barulah Abam jinak dan manja dengan saya. Suara Abam juga halus bila menyahut
panggilan saya semasa hendak memberinya makan. Dulu saya pernah ternampak Abam
menyelongkar tong sampah untuk mencari sisa makanan tapi malagnya tiada sisa
makanan yang boleh dimakan. Jadi saya berazam akan terus memberi makan buat
kucing-kucing di situ kerana kesian melihat keadaan mereka yang tiada sumber
bagi mereka mendapatkan makanan.
Damailah kamu di sana Abam. Maaf atas sebab-sebab yang
tidak dapat dielakkan, papa tak dapat memberi kamu penjagaan dan perlindungan
di rumah papa. Papa hanya dapat beri Abam dan lain-lain yang senasib dengan
Abam makan sahaja.
Comments