Skip to main content

KENAPA BUANG KUCING-KUCING YANG TAK BERSALAH TU?


Kenapa buang kucing-kucing jalanan yang saya beri mereka makan bawah blok kediaman tu? Mereka tidak bersalah kak.
Kawasan blok kediaman saya sering dijadikan sasaran tempat pembuangan kucing oleh mereka yang tidak bertanggungjawab dan zalim. Sekarang ni boleh dikatakan setiap minggu akan muncul kucing-kucing yang belum pernah dilihat sebelum ini di kawasan bawah blok kediaman saya. Kucing-kucing itu terpinga-pinga dan tidak tahu hendak bawa diri mereka ke mana. 
Pada mulanya ada kucing yang dibuang itu takut bila melihat saya. Bila saya hendak mendekati, mereka akan lari kerana tidak biasa dengan orang lain selain hanya dengan tuannya dan tambahan pula mereka telah berada di suatu kawasan persekitaran baru yang boleh menyebabkan tekanan dan ketakutan buat kucing-kucing yang baru dibuang itu. Kucing-kucing seperti ini perlukan masa yang lama untuk dijinakkan.
Namun begitu terdapat juga kucing yang dibuang itu manja dan jinak. Mereka begitu cepat menyesuaikan diri dengan persekitaran baru dan tidak takut apabila saya mendekati dan membelai mereka.

Sebagai seorang pencinta kucing, saya berasa amat sedih melihat kucing-kucing yang dibuang itu. Jadi saya telah meletakkan makanan biskut kucing serta bekas air di luar berhampiran pintu masuk rumah saya dan di bawah blok berdekatan lobi yang tidak menganggu laluan penduduk.
kucing jantan ini telah ditangkap dan dibuang ke tempat lain oleh jiran tetangga
Tapi sebenarnya saya lebih suka kucing-kucing yang dibuang itu tidak terlalu jinak dengan semua manusia dan tidak membenarkan dirinya dibelai ataupun disentuh. Ini kerana jika mereka jinak, manja dan tidak berasa takut dengan orang lain, saya khuatir dengan jiran-jiran tetangga yang tidak suka melihat kucing berkeliaran di merata tempat akan bertindak menangkap dan membuang kucing-kucing itu ke tempat lain.
kucing betina warna hitam ini telah ditangkap dan dibuang oleh jiran tetangga ke tempat lain
Terdapat jiran-jiran tetangga saya yang tidak suka melihat kucing berkeliaran di kawasan pangsapuri. Mereka akan tangkap dan buang ke tempat lain. Saya pernah beberapa kali ternampak kucing-kucing yang selalu saya beri mereka makan di bawah blok kediaman saya sedang berkeliaran di kawasan lot kedai. Kesian melihat keadaan mereka yang kurus dan comot. Dulu keadaan mereka semua tidaklah seteruk itu.

Boleh baca semula entri yang telah saya kongsikan sebelum ini tentang jiran tetangga hendak menangkap dan membuang kucing yang berkeliaran :
Saya syak mereka buat kerja tangkapan kucing mungkin sebelum waktu subuh sebelum penduduk atau jiran tetangga keluar dari rumah untuk urusan harian.  Alasan kononnya kucing-kucing berkenaan membuang najis merata tempat.  Padahal berdasarkan pemerhatian saya, keadaan tidaklah seteruk seperti apa yang mereka katakan.

Saya pun kerap bersihkan najis kucing jika terdapat di tingkat 1 dan bawah blok kediaman. Saya berasa amat kecewa kerana mereka sanggup tangkap dan buang kucing-kucing yang tidak membuat kacau ganggu dan hanya menumpang teduh di bawah blok kediaman saya ini. Jika anda tidak sukakan kucing tolonglah jangan aniaya dan bertindak zalim terhadap kucing.


Menganiaya binatang juga dilarang sama sekali. Pernah suatu ketika para sahabat Nabi SAW ketika dalam perjalanan bersama Nabi berhenti disuatu tempat. Kemudian ada sahabat baginda SAW yang terlihat dua ekor anak burung di dalam sarang lalu mengambilnya.

Lalu ibu burung itu kembali ke sarang mencari-cari anaknya. Rasulullah SAW kemudian datang dan berkata: “Siapakah yang menyakiti burung ini (perasaannya) dengan mengambil anaknya? Pulangkanlah anaknya kepadanya.” (riwayat Abu Daud).

Comments