Semalam hari Khamis 15hb Februari 2018, sewaktu pulang dari Kundang selepas
selesai urusan kerja dan melalui Plaza
Tol Latar Taman Rimba Templer, Rawang, Selangor lebih kurang waktu selepas
Maghrib, saya telah ternampak kelibat seekor kucing berwarna hitam putih ketika
melalui laluan motorsikal. Kemudian saya berpatah balik untuk melihat keadaan kucing berkenaan. Pada mulanya saya
sangka hanya seekor tapi rupanya ada 2 ekor kucing di situ. Seekor lagi betina
seakan sedang bunting dan seekor lagi mungkin jantan tapi agak takut bila
didekati. Yang betina agak jinak, anggaran usia dalam setahun manakala jantan
anggaran usia dalam 5-6 bulan.
Siapalah yang tergamak buang kucing di
sini? Dekat plaza tol ni mana ada kedai makan mahupun kawasan perumahan yang
berdekatan. Kalau ada sekalipun wajarkah tindakan membuang kucing? Apa
kucing-kucing ni nak makan? Saya pula tidak membawa bekalan makanan kucing
dalam beg. Tak dapatlah saya hulurkan makanan buat kedua ekor kucing ini.
Nampaknya mereka berdua terpaksalah berlapar sementara menunggu kedatangan saya
esok untuk memberi mereka makan. Saya tak dapat menghantar makanan pada malam
itu juga disebabkan saya ada urusan penting dan tambahan pula jarak kilometer
dari rumah saya di Taman Tun Teja, Rawang ke plaza tol Taman Rimba Templer
hampir 19 kilometer. Insyaallah saya pasti akan hantar makanan setiap hari buat
kedua-dua ekor kucing ini sementara mencari sesiapa yang boleh bantu menjaganya
sampai bila-bila.
Comments