Persoalan ini ingin saya bangkitkan
untuk menyedarkan masyarakat kita yang selalu beranggapan kucing-kucing jalanan
yang terdapat di kawasan kedai-kedai makan sentiasa kenyang kerana amat mudah
mendapatkan sumber makanan. Sejauh manakah kebenaran hal ini? Cuba anda
perhatikan betul-betul adakah benar kucing-kucing jalanan yang terdapat di
kedai-kedai makan sentiasa berada dalam keadaan kekenyangan dan bentuk badannya
berisi kerana cukup makan?
Berdasarkan pemerhatian saya yang
kerap mengunjungi kedai-kedai makan di serata tempat untuk menjamu selera, saya
dapati kebanyakan kucing-kucing di situ sentiasa berada dalam keadaan kelaparan
dan ada yang kurus kering kerana kesukaran mendapatkan sumber makanan. Sudahlah
makanan tak dapat, sebaliknya kucing-kucing jalanan yang terdapat di
kedai-kedai makan itu terdedah pada kezaliman sama ada oleh tuan punya kedai
makan yang tak suka kucing berkeliaran dalam kedai mereka dan terdapat pengunjung
atau pelanggan yang datang untuk menjamu selera di kedai makan tak suka
kehadiran kucing yang melesir-lesir di kaki mereka serta mengeluarkan suara halus
seperti tak bermaya bagi meraih simpati untuk mendapatkan makanan dan memandang
ke muka pelanggan sambil mengharapkan akan dapat secebis makanan. Terdapat juga
kucing yang berani melompat terus ke meja pelanggan yag sedang menjamu selera untuk
mendapatkan makanan kerana terlalu lapar. Tapi malangnya kucing-kucing itu ada
yang di pukul dan disimbah dengan air.
Salah satu kejadian yang tak dapat saya
lupakan, sebaik setibanya saya di sebuah kedai makan di Bandar Baru Rawang,
Selangor, saya ternampak pengunjung kedai makan yang sedang menjamu selera
iaitu seorang lelaki yang sudah matang dan berumur, telah menyepak seekor
kucing jalanan yang meminta makanan daripada lelaki berkenaan. Sudahlah kucing
itu berjalan tempang kerana kaki depannya sakit, tergamak pula dia menyepak
kucing itu. Lantas saya pun memanggil kucing berkenaan dan mmberinya makan di
luar kawasan kedai makan berkenaan.
Gambar kucing yang telah saya serahkan kepada Sollu Shelter untuk diselamatkan daripada kezaliman manusia di sebuah kedai makan di Bandar Baru Rawang, Selangor. |
Selepas melihat kejadian itu, saya
berazam ingin menyelamatkan kucing itu dariapada terus dizalimi jika terus
berada di kawasan kedai makan berkenaan. Kemudian saya telah menghubungi Mummy
J dari Sollu Shelter untuk meminta bantuan beliau sekiranya boleh menempatkan
kucing itu di Sollu Shelter supaya ia terselamat daripada kezaliman dan kelaparan.
Alhamdulillah Mummy J sudi menghulurkan bantuan dan saya pun menghantar kucing
itu ke pihak Sollu Shelter. Mujur hanya terdapat seekor sahaja kucing terbiar
di situ yang saya percaya sudah tentulah ia telah dibuang oleh tuannya yang
zalim.
Saya tak dapat nak bayangkan jika
kejadian pembuangan kucing terus berlaku atau berulang di kawasan kedai makan
di situ. Adalah mustahil saya boleh menyelamatkan semua kucing-kucing jalanan yang
kelaparan dan dizalimi. Membuang kucing di kawasan kedai-kedai makan sebenarnya
mengundangan pelbagai masalah dan penderitaan buat kucing berkenaan. Saya
merayu janganlah membuang kucing-kucing yang anda tidak mahu membelanya lagi.
Fikirkanlah cara lain selain membuang mereka. Janganlah ambil jalan mudah
dengan bertindak membuang kucing-kucing yang anda tak mahu belanya lagi walau
apa sekalipun pun alasannya, dan janganlah juga menzalimi kucing-kucing
jalanan. Jika kucing jalanan datang pada anda dan meminta simpati untuk
mendapatkan makanan. Tolonglah hulurkan sedikit makanan atau sisa-sisa makanan
pun jadilah kepada kucing-kucing jalanan yang sebenarnya sukar untuk
mendapatkan sumber makanan. Semoga masyarakat kita sedar dan insaf.
Comments