Baru-baru ini dunia penyelamat kucing
dikejutkan dengan cerita “CURI DUIT KUCING SAKIT” seperti
yang tersiar di muka depan akhbar Harian
Metro 27 Januari 2018 – Sabtu. Saya lihat kecoh seketika di facebook.
Cerita panas ni memang menarik perhatian ramai pencinta kucing yang turut
membuat perkongsian di facebook dan memberi pelbagai pandangan masing-masing
dan maklumbalas dalam hal ini.
Berdasarkan pemerhatian saya, tak
dapat dinafikan memang wujud segelintir penyelamat kucing yang ambil kesempatan
“curi duit kucing sakit” seperti
yang dilaporkan. Walaupun saya juga terlibat dalam aktiviti menyelamat kucing
jalanan secara kecil-kecilan dan menjalinkan usahasama dalam menyelamatkan
kucing jalanan bersama pihak Sollu
Shelter dan Zazacyra Shelter Langat, tapi saya agak keberatan mengambil
risiko dalam usaha merawat atau bertindak membawa kucing jalanan atau
gelandangan yang ditemui sakit atau mengalami kecederaan akibat cedera
kemalangan ke klinik haiwan untuk dirawat. Ini bukan bermakna saya tak berasa
kasihan melihat kucing jalanan sakit yang perlu mendapat rawatan, tapi sebab
utama adalah kerana saya mempunyai kekanggan dari segi kewangan. Meminta derma
atau sumbangan daripada orang ramai memang tak pernah saya lakukan kerana
khuatir jika ada pihak yang berasa kurang senang dan memandang serong pada saya
nanti.
Jika saya menemui kucing yang sedang
sakit atau mengalami kecedaraan yang perlu dirawat, saya akan hubungi pihak Sollu Shelter untuk meminta
pertolongan. Jika pihak Sollu Shelter berupaya menolong, saya akan hantar
kucing sakit berkenaan kepada mereka dan kebiasaannya pihak Sollu Shelter boleh
membantu saya bagi mendapatkan rawatan dan penjagaan sepenuhnya terhadap kucing
sakit berkenaan.
Merujuk kembali apa yang dilaporkan
oleh Harian Metro “CURI DUIT KUCING SAKIT”, sebenarnya saya tak menyangka
terdapat tiga paparan screen shoot facebook sahabat saya yang telah dikaburkan turut
tertera dalam cerita akhbar berkenaan. Sebenarnya saya selalu mengikuti
perkembangan aktiviti menyelamat kucing jalanan yang dilakukan oleh 2 sahabat
facebook berkenaan. Berdasarkan pemerhatian dan bukti, saya yakin 2 sahabat
facebook saya itu tak terlibat dalam hal “curi duit kucing sakit”. Mereka
berdua memang ada meminta sumbangan dari orang ramai menerusi facebook mereka
bagi merawat kucing yang sakit dan cedera teruk akibat kemalangan. Adakalanya
mereka berdua terpaksa berhutang ribuan ringgit dengan pihak klinik haiwan jika
jumlah kutipan sumbangan masih tak cukup untuk menampung kos rawatan berkenaan.
Mereka berdua lakukan aktiviti menyelamatkan kucing jalanan ini adalah secara
sukarela dan tanpa dibiayai sepenuhnya oleh mana-mana pihak. Orang ramai atau
netizen tak perlulah berasa sangsi atau hilang kepercayaan terhadap mereka
berdua yang selama ini menjalankan aktiviti menyelamat dan membantu dalam usaha
mendapatkan rawatan untuk kucing jalanan yang sakit atau cedera akibat
kemalangan.
Pada pendapat saya, tak salah mana-mana
pihak sama ada pertubuhan bukan kerajaan mahupun individu yang secara sukarela
melakukan aktiviti menyelamatkan kucing jalanan, meminta sumbangan derma
daripada orang ramai bagi merawat kucing-kucing jalanan sakit yang dibuang oleh
mereka yang zalim atau kucing jalanan yang cedera akibat dilanggar oleh
kenderaan. Adalah lebih baik perhatian diberikan terhadap pemilik kucing yang sengaja
membiarkan kucing mereka yang sedang sakit tanpa mendapat rawatan sepatutnya
dan kemudian dengan sewenang-wenangnya tanpa rasa belas kasihan membuang kucing
mereka yang sakit itu ke pasar, restoran, kawasan kediaman pangsapuri dan
sebagainya.
Comments