Malam semalam seperti biasa saya
ke sebuah hentian lebuhraya bertol untuk memberi makan buat kucing-kucing
gelandangan di situ. Sudah setahun lebih saya berkunjung ke sini setiap hari
untuk memberi kucing-kucing itu makan. Selepas selesai memberi kucing-kucing di
situ makan dan menambah makanan serta air dalam bekas-bekas yang saya
tinggalkan, saya pun beredar untuk ke lokasi lain pula.
Kemudian ketika saya hendak
meninggalkan lokasi berkenaan melalui lorong motorsikal, saya ternampak seekor
kucing berwarna putih terbaring atas rumput di tepi laluan motorsikal. Saya
mula rasa tak sedap hati dan dengan segera memberhentikan motorsikal saya di
tepi laluan untuk melihat dengan lebih dekat lagi. Saya dapati kucing berkenaan
sudah tidak bernyawa lagi.
Sebenarnya kucing malang ini
telah dibuang di sini 4 hari yang lalu bersama 2 ekor lagi yang telah lari
masuk ke hutan kerana tidak biasa dengan persekitaran baru dan takut pada
manusia. Kucing-kucing ini hanya biasa dengan tuannya saja sebab itulah mereka
takut melihat orang lain walaupun saya telah mengumpan makanan kepada mereka.
Bayangkan apa akan jadi pada 2 ekor lagi yang lari masuk ke dalam hutan itu.
Sudah pasti hayat mereka juga tidak akan lama. Bagaimana mereka hendak mendapatkan
makanan untuk meneruskan kehidupan?
Tolonglah jangan buang kucing.
Berdasarkan pengalaman saya yang kerap melihat kucing-kucing yang kena buang,
mereka hidup menderita serta jangka hayat pendek atau tidak berupaya hidup lama
kerana mereka lterdedah pada pelbagai risiko yang boleh mengancam nyawa seperti
kelaparan & kehausan, diserang anjing liar, bergaduh dengan kucing lain,
dilanggar kenderaan, dijangkiti penyakit dan dizalimi manusia.
Sebenarnya tiada jaminan
kucing-kucing yang dibuang di pasar dan di kedai makan boleh atau mudah
mendapatkan makanan. Di situ mereka terdedah pada risiko dizalimi oleh
pengunjung pasar dan kedai makan. Saya sendiri kerap kali melihat kucing-kucing
yang dibuang di pasar dan kedai makan di sepak, dijirus air minuman dan dipukul
dengan penyapu oleh pekerja restoran. Ada juga kenalan saya warga indonesia
pernah bercerita tauke kedai makan tempat dia bekerja dulu telah meracun
beberapa ekor kucing-kucing yang dibuang di restorannya dengan alasan
kucing-kucing itu sering masuk ke dalam kedai dan berbunyi bising.
Jadi saya merayu tolonglah jangan
buang kucing walau apa jua alasan. Kucing bukannya sampah. Mereka juga
merupakan makhluk bernyawa ciptaan Allah seperti kita Cuma yang beza kita
dikurniakan akal fikiran, kebijaksanaan dan tahap kemampuan fizikal dan mental
kita terlalu hebat berbanding dengan kucing. Berbuat baik pada kucing juga akan
mendapat ganjaran daripada Allah swt.
Petikan daripada http://www.utusan.com.my/mega/agama/mengasihi-binatang-1.67902
:
Para sahabat bertanya : Wahai Rasulullah,
adakah kita akan mendapat pahala jika berbuat baik kepada haiwan? Beliau
menjawab: Berbuat baik terhadap setiap makhluk bernyawa diberi pahala. (riwayat
al-Bukhari)
NABI SAW menegaskan dengan suatu penegasan dan
kaedah umum bahawa berbuat baik kepada mana-mana makhluk yang bernyawa itu
berpahala termasuklah binatang, tumbuhan dan sebagainya. Bukankah ini peluang
terbaik kita untuk menambah saham akhirat dengan mudah?
Comments