Pada pagi semalam hari Rabu – 24hb Julai, saya
terdengar bunyi suara anak kucing yang berada di bawah kediaman pangsapuri
saya. Memandangkan saya tinggal di tingkat 1 jadi saya boleh dengar suara anak
kucing itu dengan jelas. Pada waktu itu pula saya sedang bersiap untuk keluar
bekerja sambilan.
Kemudian saya dengan segera turun ke bawah untuk
mencari anak kucing itu. Saya dapati di kawasan lobi lift ada seekor anak kucing
yang dikira masih bayi anggaran usia dalam 2 minggu dan 4 ekor anak kucing
anggaran usia dalam 2 bulan. Suara anak kucing yang merengek-rengek tadi adalah
dari suara kucing yang masih bayi itu. Sungguh kesian saya melihat anak-anak
kucing itu lalu saya pun angkat kucing bayi berkenaan.
Tiba-tiba selepas itu saya telah terdengar ada lagi
bunyi anak kucing di kawasan parking motorsikal bersebelahan dengan tempat peti
surat. Di situ terdapat beberapa meja buruk dan saya dapati di bawah meja itu
terdapat sebuah kotak dan ada 3 lagi anak kucing yang masih bayi namun saya tidak
nampak ibunya kelihatan di situ.
Tidak tahulah sama ada mereka dibuang tanpa ibu atau
ibunya telah lari meninggalkan mereka semua. Di atas meja itu pula terdapat 2
ekor anak kucing usia dalam anggaran 3 bulan. Wah! Banyaknya anak kucing yang
dibuang. Jumlah semuanya 10 ekor. Kejadian buang anak kucing dalam jumlah yang
banyak seperti ini belum pernah berlaku di sini. Tidak tahulah sama ada masih
terdapat lagi anak kucing yang belum munculkan dirinya lagi.
Kesian saya melihat bayi-bayi kucing itu kelihatan
seperti kelaparan. Ntah berapa jam mereka tidak dapat menyusu. Kalau saya tidak
perasan tentu mereka semua boleh mati kelaparan. Kemudian saya pun bergegas
naik ke rumah untuk mengambil sangkar bagi memudahkan saya membawa 10 ekor
anak-anak kucing itu masuk ke dalam rumah.
Kemudian saya mengurung mereka dalam sangkar tapi 2
ekor yang paling besar usia dalam 3 bulan itu kelihatan tidak selesa kerana
perlu bersesak dalam sangkar dan mereka ingin keluar dari sangkar. Saya pun bebaskan
2 ekor anak kucing itu dari sangkar dan biarkan mereka berkeliaran dalam rumah tapi
mereka kelihatan takut dengan kucing-kucing dewasa yang terdapat dalam rumah
saya dan kucing-kucing saya pun tidak suka pada 2 ekor anak kucing itu.
Kucing-kucing saya memang amat sensitif dengan kucing dari luar yang dibawa
masuk. Keadaan dalam rumah jadi kelam kabut seketika lalu saya buat keputusan
untuk lepaskan 2 ekor anak kucing usia dalam 3 bulan itu ke bawah semula tapi walaubagaimanapun
saya akan pantau keadaan mereka dan juga beri mereka makan.
Yang 8 ekor itu pula (4 ekor bayi dan 4 ekor usia
dalam 2 bulan) sungguh bernasib baik kerana kebetulan dalam rumah saya terdapat
seekor kucing betina bernama Didi yang telah kematian semua anaknya 3 ekor baru-baru
ini. Jadi saya cuba letakkan mereka semua pada Didi supaya mereka boleh menyusu
daripada Didi. Alhamdulillah Didi dapat menerima kehadiran anak-anak itu dan
Didi pun beri mereka menyusu. Didi pun melayan anak-anak itu seperti anaknya
sendiri. Saya berasa lega melihat keadaan ini. Anak-anak kucing itu sungguh
bertuah kerana Didi sudi menyusukan mereka yang sedang kelaparan pada masa itu.
Insya Allah saya akan berusaha mencari insan yang
sanggup memberi penjagaan dan perlindungan buat 4 ekor anak kucing yang berusia
2 bulan itu dulu. Kemudian bila anak kucing yang masih bayi itu telah berusia
2-3 bulan saya akan carikan penjaga baru buat mereka pula. Saya tidak dapat
menjaga mereka kerana dalam rumah kecil saya terdapat 23 ekor kucing. Sukar
untuk saya menjaga banyak kucing dalam rumah yang kecil dan ruang yang terhad.
Semoga segala urusan berjalan lancar dan dipermudahkan.
Comments