Skip to main content

KAU PERGI JUA : SEEKOR KUCING GELANDANGAN DI HENTIAN LEBUHRAYA BERTOL MATI DILANGGAR KENDERAAN

Hari ini adalah hari sedih buat saya kerana salah seekor kucing betina gelandangan yang manja dan jinak di sebuah hentian lebuhraya bertol yang tiada kedai makan dan jauh dari kawasan kediaman manusia telah dijumpai mati di tengah jalan selepas Plaza Tol.
Patutlah masa saya tiba pada waktu tengahari tadi di hentian berkenaan dia tidak menyambut kedatangan saya. Biasanya dia akan sambut kedatangan saya dan dia suka duduk lepak di atas sepohon pokok. Bila saya sampai saja dia akan turun dari pokok itu untuk menyambut saya. Tapi hari ini dia tidak kelihatan. Saya tercari-cari juga dia tapi tidak juga jumpanya. Saya anggap mungkin dia sedang tidur di mana-mana dan tidak sedar kedatangan saya.
Setelah meletakkan makanan dan air dalam bekas-bekas yang saya sediakan di tempat biasa, saya pun bergerak meninggalkan hentian itu seperti biasa dengan motorsikal. Kemudian tiba-tiba saya ternampak ada seekor kucing sedang terbaring di tengah jalan / lorong kanan. Pada mulanya saya ingat mungkin ada orang buang kucing di situ hingga menyebabkan kucing itu dilanggar kenderaan.
Kemudian saya pun memberhentikan motorsikal di tepi jalan untuk melihat keadaan kucing yang mati dilanggar itu. Rupa-rupanya kucing yang mati itu adalah kucing betina manja dan jinak  yang biasa menyambut kedatangan saya di hentian berkenaan. Tidak sangka pula dia berjalan sampai melepasi Plaza Tol itu.
Sedih saya dibuatnya dan saya terus melintas jalan untuk ambilnya sebelum hancur dilanggar kenderaan. Keadaannya amat menyedihkan. Usus sampai terkeluar akibat dilanggar kenderaan. Sebenarnya saya sudah bersedia menghadapi situasi seperti ini memandangkan kucing-kucing gelandangan di situ berada dalam kawasan lebuhraya yang dilalui kenderaan 24 jam setiap hari.
Di hentian ini sebenarnya terdapat 12 ekor kucing gelandangan termasuklah anak-anak kucing. Saya ke sini setiap hari untuk memberi kucing-kucing di sini makan dan juga menambah makanan serta air sebelum saya bergerak ke tempat lain. Semoga kucing-kucing itu semua selamat daripada musibah yang tidak diingini.

Comments