Sedih melihat keadaan seekor kucing jalanan yang mengalami kecederaan pada bahagian ekornya akibat dikerat.
Pada 27hb. Oktober 2021 (Selasa), ketika hendak ke kedai, saya ternampak seorang delivery rider sedang membelek seekor kucing yang sedang terbaring di tepi jalan di hadapan sebuah kedai.
Saya syak kucing malang itu mungkin kena langgar dengan kenderaan. Kemudian saya pun pergi mendekati kucing berkenaan. Saya dapati ia seakan mengalami sawan. Apabila saya melihat keadaan kucing yang masih muda itu, saya dapati ekornya ada kecederaan disebabkan dikerat.
Keadaan kucing betina yang masih muda itu seperti sedang nazak. Perasaan saya ketika itu memang rasa sedih dan marah. Siapalah yang kejam melakukan perbuatan zalim mengerat ekor kucing malang itu.
Kawasan lot kedai berkenaan berada tidak jauh dari kediaman saya. Memang selalu manusia tidak bertanggungjawab membuang kucing di situ. Terdapat beberapa restoran di deretan kawasan lot kedai ini. Jadi tidak hairanlah orang selalu buang kucing di sini.
Selepas itu saya terus membawa kucing malang itu dengan motorsikal saya ke blok kediaman terlebih dahulu untuk mengambil beg bagi persediaan membawa kucing itu sebelum ke klinik haiwan. Saya naik sebentar ke rumah untuk mengambil beg. Kucing itu saya tinggalkan sebentar di raga motorsikal.
Apabila saya turun semula ke bawah blok, saya dapati kucing itu sudah tidak bernyawa lagi. Aduh! Sedihnya. Tak sempat nak ke klinik haiwan. Saya rasa kucing malang ini sudah mengalami jangkitan kuman yang merebak ke dalam di sebabkan lewat menerima rawatan. Kalau tidak silap, saya lihat seakan ada kesan dijerut pada lehernya. Mungkin ia telah dijerut oleh pelaku sebelum ekornya ditetak. Inilah apa yang dapat saya rumuskan.
Saya telah kebumikan kucing berkenaan di kawasan kampung saya yang jadikan tempat perkuburan kucing. Sudah berpuluh ekor kucing dikebumikan di sini.
Kepada si pelaku yang bertindak kejam terhadap kucing dan haiwan, di dunia ini anda mungkin terlepas. Tetapi anda tidak akan terlepas di hari pengadilan nanti. Jangan ingat melakukan penganiayaan dan kekejaman ke atas haiwan tidak berdosa.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: "Sesiapa yang mengerjakan kebaikan walau sebesar zarah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan sesiapa yang mengerjakan kejahatan walau sebesar zarah, nescaya dia kan melihat (balasan)nya pula". (Surah al-Zalzalah 99:7-8).
Menjaga kebajikan haiwan peliharaan adalah termasuk dalam amalan soleh yang boleh membawa seseorang menuju ke syurga
Jangkahayat kucing-kucing yg dibuang itu biasanya pendek @ hidup tak lama disebabkan terdedah pada risiko-risiko seperti berikut :
1) mati kelaparan dan kehausan.
2) mati akibat dizalimi oleh manusia (dipukul, diracun, disiram air / minyak panas dan lain-lain).
3) mati akibat dilanggar kenderaan.
4) mati akibat dijangkiti penyakit dan tidak dirawat.
5) mati akibat bergaduh dengan kucing lain.
6) mati akibat bengkak susu bagi kucing betina yang kematian anak.
Dan lain-lain lagi risiko dan kesengsaraan yang boleh mengancam keselamatan dan nyawa kucing-kucing yang dibuang itu.
Jadilah pemilik kucing yang bertanggungjawab.
Setiap manusia itu lebih utama untuk berusaha dalam memastikan dirinya ditempatkan oleh Allah S.W.T ke dalam syurga melalui amalan soleh di dunia. Seperti yang diketahui, menjaga kebajikan haiwan-haiwan peliharaan adalah termasuk dalam amalan soleh yang boleh membawa seseorang menuju ke syurga.
Marilah bersama-sama memupuk nilai ihsan kepada haiwan kerana boleh jadi itulah asbab kita yang membantu ke syurga kelak. Wallahua’lam.
#janganbuangkucing
Jemput tonton video yang saya rakam pada hari kejadian :
Comments