Sudah lebih 2 tahun saya singgah di sebuah hentian highway untuk beri makan kepada kucing-kucing terbiar yang terdapat di situ.
Saya mula singgah di hentian highway yang tiada kedai makan dan jauh dari kawasan perumahan sejak bulan Mei 2018.
Pada permulaannya, waktu itu saya hanya ternampak Cik Siti saja yang berada di hentian highway itu. Menurut Pengawal Keselamatan warga Nepal yang bertugas di situ, beliau kata Cik Siti baru saja dibuang di hentian highway berkenaan kira-kira dalam 2 minggu macam tu.
Inilah detik permulaan yang menggerakkan saya untuk singgah di hentian highway ini. Saya berasa kesian melihat Cik Siti kerana tiada sumber bagi membolehkannya mencari makanan di situ. Walaupun saya perlu menempuh perjalanan sejauh 24km dari kediaman saya untuk sampai ke hentian highway ini, namun saya sanggup datang untuk memberi makan kepada Cik Siti.
Kemudian selepas beberapa saya kali singgah di hentian highway ini untuk memberi makan kepada Cik Siti, barulah saya ternampak ada beberapa ekor lagi kucing terbiar. Masih saya ingat saya ternampak seekor kucing jantan bersaiz besar yang pada mulanya sukar didekati kerana ia takut.
Bila ada kucing jantan, sudah pastilah populasi kucing terbiar yang terdapat di situ juga akan membiak. Tapi saya dapati kucing-kucing terbiar di hentian highway ini tidaklah terlalu banyak. Ini kerana ada juga yang telah mati akibat dilanggar kenderaan yang singgah di hentian highway itu.
Yang mana bernasib baik dan panjang umur, dapatlah meneruskan kehidupan mereka di situ. Cik Siti juga pernah beberapa kali melahirkan anaknya di hentian highway ini. Ada juga anak-anaknya yang mati. Memang sedih kerana mereka terdedah pelbagai risiko yang boleh mengancam keselamatan dan nyawa mereka.
Cik Siti bersama seekor anaknya |
Antara anak Cik Siti yang bernasib baik dapat meneruskan kehidupan hingga sekarang adalah “Cik Minah”. Pada mulanya Cik Minah agak liar dan takut dengan saya. Tapi apabila sudah biasa melihat saya, lama kelamaan Cik Minah menjadi jinak dan manja dengan saya. Cik Minah juga pernah melahirkan anaknya tapi malangnya selepas itu kesemua anaknya sudah tidak kelihatan lagi.
Cik Minah |
Ada juga yang suruh saya melepaskan Cik Minah dan Cik Siti di kedai makan supaya mereka senang nak mencari makanan. Oh! Tidak. Saya tidak akan berbuat demikian. Mana mungkin saya ikut cadangan pihak-pihak tertentu yang pada saya tidak masuk akal sedangkan saya berupaya memberi makan kepada kucing-kucing terbiar yang terdapat di hentian highway itu.
Saya juga tidak bercadang untuk menyerahkan atau mempertemukan Cik Minah dan Cik Siti dengan keluarga angkat yang sudi nak menjaga mereka. Ini kerana mereka sudah serasi tinggal di hentian highway ini. Insha Allah saya akan datang setiap hari untuk memberi makan kepada Cik Minah, Cik Siti dan kucing-kucing terbiar yang terdapat di hentian highway itu.
Comments