Tajuk entri ini agak menarik kerana ramai orang anggap kita yang memberi makan kepada kucing-kucing jalanan / terbiar itu kerana sengaja hendak biarkan mereka terus membiak.
Saya bermula memberi makan kepada kucing-kucing terbiar di hentian plaza tol sejak bulan Februari 2018. Pada waktu itu saya dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menghantar kek yang ditempah oleh pelanggan. Saya ternampak beberapa ekor kucing di hentian berkenaan yang tiada medan selera atau gerai makan. Terdetik dihati saya, bagaimana kucing-kucing terbiar itu hendak mendapatkan makanan untuk terus hidup?
Keesokkan harinya, bermulalah episod saya memberi makan kepada kucing-kucing terbiar yang terdapat di hentian highway berkenaan. Saya datang ke hentian itu setiap hari untuk beri makan kucing. Pada waktu itu, bilangan kucing tidaklah banyak sangat. Saya mula berkenalan dengan seorang pekerja pembersihan warga Rohingya yang tinggal di salah satu bilik stor yang terdapat di hentian itu.
Pekerja asing itu pun menyukai kucing. Beliau juga selalu membantu kucing-kucing terbiar di situ yang pada asalnya telah dibuang oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Beliau pun pernah ternampak orang buang kucing di kawasan hentian berkenaan. Disebabkan beliau juga menyayangi kucing-kucing di hentian itu, beliau sanggup bangun jam 5 pagi semata-mata hendak membersihkan najis kucing jika ada di lantai bangunan yang menempatkan surau, tandas dan ruangan rehat. Beliau juga pernah bangun jam 3 pagi untuk membantu anak-anak kucing yang terjatuh ke dalam longkang ketika hujan lebat. Mata saya sendiri melihatnya.
Begitu cepat masa berlalu. Sehingga kini saya masih lagi meneruskan aktiviti memberi makan kepada kucing-kucing terbiar di tujuh hentian lebuhraya yang kebanyakkannya tiada medan selera atau gerai makan. Jadi boleh dikatakan kucing-kucing terbiar yang terdapat di hentian-hentian berkenaan, bergantung kepada saya untuk mendapatkan makanan.
Apa yang mendorong saya memberi makan kepada kucing-kucing itu? Jawapannya kerana saya berasa kesian melihat keadaan kucing-kucing itu yang menumpang teduh di kawasan yang tiada sumber makanan dan jika ada medan selera sekali pun, saya dapati mereka kelaparan kerana sukar mendapatkan makanan.
Bukan semua pemilik gerai dan pelanngan bermurah hati serta bersimpati melihat kucing-kucing yang berkeliaran menagih simpati untuk mendapatkan makanan bagi mengisi perut mereka yang lapar. Seperti yang saya katakan, asalnya kucing-kucing itu sengaja dibuang dibuang di situ sebelum ia membiak disebabkan ada yang dibuang dalam keadaan bunting. Kemudian kucing-kucing betina yang bunting telah melahirkan anak-anaknya di hentian-hentian lebuhraya berkenaan. Ada pula kucing jantan. Maka makin bertambahlah populasi kucing-kucing terbiar.
Ada juga kucing-kucing terbiar itu saya mempertemukan mereka dengan keluarga angkat yang sudi menjaga mereka. Saya sendiri pun ada membawa pulang beberapa ekor kucing dari hentian lebuhraya untuk diberi penjagaan dan perlindungan di dalam rumah kecil saya. Kalau ikutkan hati saya hendak membawa pulang mereka semua ke rumah saya. Tapi apakan daya, saya tidak memiliki tempat yang besar dan sesuai bagi menempatkan mereka semua.
Pernah juga saya bercadang hendak memandulkan kucing-kucing berkenaan. Tapi disebabkan kekangan kewangan, hasrat saya masih tertangguh hingga sekarang. Saya cuma dapat merawat sendiri tanpa bawa ke klinik haiwan jika ada kucing-kucing yang mengalami sakit-sakit yang tidak serius. Ada jugalah beberapa ekor yang dapat saya bawa ke klinik untuk rawatan dan kemudian saya jaga sepenuhnya di dalam rumah disebabkan ditimpa kecelakaan.
Jadi janganlah ada pihak yang salah faham, beranggapan kononnya saya memberi makan kepada kucing-kucing terbiar di hentian-hentian lebuhraya itu, adalah bertujuan untuk membiakkan mereka. Ini tidak betul. Saya tidak berniat begitu. Selain memberi makan serta merawat, saya juga berusaha mencari keluarga angkat yang sudi menjaga kucing-kucing itu. Bukan mudah sebenarnya hendak mencari mereka yang sanggup mengambil tanggungjawab untuk menjaga kucing-kucing itu semua. Jadi saya perlukan masa.
Untuk pengetahuan anda, Saya membelanjakan kira-kira RM 100.00 sehari bagi membeli makanan kucing-kucing terbiar dan kucing-kucing yang diberi penjagaan di dalam rumah saya. Sebab itu saya sanggup melakukan pekerjaan sambilan bagi menampung perbelanjaan makanan kucing. Ini belum masuk kos perbelanjaan pasir tandas kucing, ubat-ubatan dan rawatan di klinik haiwan.
Jika ada pihak yang sudi hendak menjaga kucing-kucing yang saya beri makan di hentian-hentian lebuhraya yang saya singgah setiap hari itu, bolehlah emal saya di rezekikucing@gmail.com. Maaf atas sebab-sebab tertentu saya tidak boleh mendedahkan nombor telefon saya disini.
Saya sangat mengalu-alukan jika ada pihak yang sudi membantu. Sedikit sebanyak dapatlah mengurangkan populasi kucing-kucing terbiar di hentian lebuhraya berkenaan. Sebenarnya saya amat bimbang nanti pihak syarikat pengurusan lebuhraya, akan mengambil tindakan mengusir semua kucing-kucing berkenaan ke kedai-kedai makan atau pasar. Ini yang sedang mereka lakukan ketika ini. Beberapa ekor anak kucing telah ditangkap dan dibuang ntah ke mana tanpa ibunya. Akan menjadi masalah lebih besar buat kucing-kucing ini nanti. Memang saya berasa sedih memikirkan hal ini.
Adakah kucing-kucing terbiar itu tidak layak untuk hidup? Moga masih ada sinar harapan dan cahaya dihujung terowong buat semua kucing-kucing terbiar di hentian lebuhraya berkenaan.
Comments