Begitu cepat masa berlalu. Kini telah
memasuki 20 Ramadhan dan hanya tinggal 10 hari lagi Ramadhan. Tak lama lagi kita
umat Islam akan meraikan Hari Raya Aidil Fitri yang juga merupakan hari
kemenangan melawan hawa nafsu selama sebulan. Tentu ramai antara kita ketika
ini sedang sibuk membuat persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidil Fitri dan
sudah tentu akan banyak majlis rumah terbuka di sepanjang bulan Syawal nanti.
Namun begitu, sama seperti
tahun-tahun sebelum ini, bila nak menjelang Hari Raya, apa yang saya nampak
akan bertambahlah bilangan kucing-kucing jalanan / gelandangan di merata tempat
dan pastinya kucing-kucing ini telah dibuang oleh mereka yang tidak
bertanggungjawab.
Kenapa mereka yang tidak
bertanggungjawab ini membuang kucing sebelum tiba Hari Raya? Pada pendapat saya
mereka yang membuang kucing sebelum tibanya Hari Raya kerana :
1) Ingin pulang beraya di kampung
lama sikit. Jadi tiada siapa yang boleh memberi makan buat kucing-kucing yang
mereka bela itu. Hendak di hantar ke hotel kucing atau pusat jagaan sementara
perlu keluarkan kos perbelanjaan pula. Jadi cara mudah untuk lepaskan
tanggungjawab adalah buang kucing mereka ke kedai-kedai makan.
2) Tidak mahu rumah berbau najis
kucing (tahi & kencing) dan bau kucing yang kurang menyenangkan. Kucing
jantan pula kuat memancut kencing di merata tempat. Maklumlah si pembuang
kucing nak buat rumah terbuka, nanti rasa malu pula pada mereka yang berkunjung
ke rumah.
3) Terdapat kucing yang dibela itu
mengalami sakit kulit atau kurap. Tak nak nanti orang datang beraya ke rumah berasa
geli nak menjamu selera juadah raya.
4) Takut kucing rosakkan perabut dan
perhiasan rumah seperti langsir, alas meja, carpet dan lain-lain.
5) Risau bulu kucing berterbangan dan
gugur merata tempat dalam rumah. Nanti habis melekat bulu-bulu kucing pada baju
raya, perabut baru dan juadah raya.
6) Risau kucing merayap dan membuang
najis di rumah-rumah jiran. Si pembuang kucing takut jiran-jiran marah atau
bising sebab kucing yang mereka bela itu suka membuang najis di halaman atau
kawasan rumah jiran. Jadi tidak mahu bergaduh, cara mudah mereka buang saja
kucing.
7) Mungkin terdapat jiran tetangga
yang membuang kucing kerana tidak mahu kucing mendatangkan kotoran dan menyebabkan
persekitaran rumah mereka berbau busuk dengan najis kucing.
Mungkin ada lain-lain alasan lagi
tapi 7 alasan ini yang tergambar dalam fikiran saya. Tolonglah jangan buang
kucing. Kucing-kucing yang dibuang itu akan hidup menderita dan terseksa tanpa
mendapat makanan / air serta tempat perlindungan yang selamat. Biasa
kucing-kucing yang dibuang itu tidak berupaya hidup lama kerana boleh mati
kelaparan, dizalimi, dilanggar kenderaan dan jatuh sakit.
Sebahagian kucing-kucing yang dibuang
di bawah kediaman pangsapuri saya baru-baru ini :
Comments