Terpaksalah
saya menolak motorsikal dalam keadaan gelap dengan membawa bersama seekor
kucing yang mengalami masalah sporo.
Pada
26hb Mac 2020 – Khamis, seperti biasa saya keluar bekerja sambilan sungguh pun “Perintah Kawalan Pergerakan”
dikuatkuasakan namun pekerjaan yang saya lakukan sebagai Litter Collection atau
Pengutip Sampah di highway tidak terlibat dalam perintah ini kerana bidang
pekerjaan saya adalah berkaitan dengan pembersihan.
Jadi
semasa hendak keluar bekerja, saya turut membawa seekor kucing jantan
gelandangan yang disyaki mengalami penyakit sporo. Bagi anda yang hendak tahu
berkaitan penyakit sporo pada kucing boleh baca lebih lanjut pada pautan ini : http://myklinikhaiwan.com/tips-haiwan-peliharaan/sporo/
Kucing
yang mengalami penyakit sporo itu adalah kucing gelandangan bawah blok kediaman
saya. Ia telah dibuang oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Sebelum ini
keadaannya elok saja sebelum ia tiba-tiba menghilangkan diri. Bila ia muncul
kembali saya lihat terdapat banyak luka-luka kecil pada tubuhnya. Kemudian saya
telah membawanya ke sebuah klinik haiwan yang biasa saya kunjungi. Pemeriksaan
yang dilakukan oleh Doctor memang sah ia mengalami penyakit sporo. Aduh memang
masalah besar bagi saya.
Setelah
menjalani pemeriksaan dan selesai urusan di klinik berkenaan, saya pun terpaksa
meninggalkannya di klinik itu buat sementara dalam 3 hingga 4 jam kerana saya
perlu menyelesaikan tugas meronda di kawasan highway untuk mengutip sampah.
Tapi saya perlu mengambil kucing itu sebelum pukul 5 petang kerana dalam tempoh
waktu Perintah Kawalan Pergerakan ini klinik berkenaan hanya beroperasi hingga
jam 5 petang.
Pada
jam 5 petang saya kembali semula ke klinik berkenaan untuk mengambil semula
kucing itu walaupun kerja meronda mengutip sampah masih belum selesai
sepenuhnya. Jadi terpaskalah saya angkut sekali kucing itu sehinggalah ke
kawasan kerja yang telah ditetapkan. Tapi jarak perjalanan rondaan yang perlu
diselesaikan tidaklah jauh sangat. Cuma
tinggal dalam jarak 7km lagi untuk diselesaikan.
Dalam
pada itu ketika menyambung semula kerja rondaan mengutip sampah, saya terjumpa
seekor monyet yang telah mati akibat dilanggar kenderaan. Memang kesian melihat
monyet itu kaku di tepi jalan. Saya memang kerap terjumpa monyet mati dilanggar
dan digilis kenderaan di kawasan tempat saya bekerja itu.
Selepas
menyelesaikan kerja saya pun segera berangkat untuk pulang ke rumah. Perjalanan
dari kawasan penamat kerja ke kediaman saya dalam 17km. Kesian pula saya lihat
kucing yang saya bawa itu. Ia terpaksa berada dalam sangkar yang kecil. Ia
perlu bertahan lagi sebelum kami sampai ke kawasan kediaman.
Dalam
perjalanan pulang, tiba-tiba motorsikal saya mengeluarkan bunyi pelik seperti
mengalami masalah pada bahagian enjin. Tapi saya tetap meneruskan perjalanan
kerana bimbang motorsikal saya rosak di lokasi yang sukar untuk meminta
bantuan. Saya berharap motorsikal saya dapat bertahan hingga ke kawasan
kediaman saya pun jadilah.
Tapi
malangnya motorsikal saya akhirnya tidak lagi mampu bergerak. Mujur sempat
sampai ke sebuah plaza tol. Bolehlah saya berehat seketika di hentian plaza tol
sambil beri makan pada kucing-kucing yang terdapat di situ dan memikirkan
bagaimana saya hendak pulang ke rumah.
Hari
sudah pun lewat petang pada ketika itu dan menghampiri senja. Dipendekkan
cerita selepas itu saya cuba menempah pemandu grab. Namun percubaan saya gagal
kerana tiada pemandu grab ketika itu. Hari sudah hampir gelap. Kemudian saya
buat keputusan untuk menolak saja motorsikal saya dari hentian plaza tol hingga
ke rumah saya yang jaraknya dalam 7km.
Kenalan
saya seorang Cleaner warga Rohingya di hentian itu berkata ada jalan pintas
yang boleh tembus ke kawasan kediaman saya. Tapi saya perlu menempuh kawasan
kebun tidak jauh dari hentian berkenaan. Dia pernah lalu di situ untuk membeli
barang keperluan. Sebenarnya saya pun tahu juga tapi agak risau ikut jalan
kebun berkenaan kerana hari sudah makin gelap.
Tapi
saya cuba jugalah lalu jalan pintasan bertanah merah dan bersemak itu yang
turut boleh dilalui kereta. Manalah tahu kot saya berjaya sampai ke rumah tanpa
perlu menolak motorsikal ikut jalan highway yang lebih jauh itu.
Malangnya
apabila saya telah berjaya meneruni jalan pintasan itu, tiba-tiba ada pagar
yang berkunci mangga. Tidak dapatlah saya meneruskan perjalanan dan perlu
berpatah balik menolak motorsikal menaiki bukit jalan tanah merah yang telah
saya lalui untuk turun ke bawah. Teruk juga saya kena tolak motorsikal untuk
naik ke atas. Hari pula sudah gelap. Panik saya dibuatnya hingga saya terjatuh
ketika menolak motorsikal. Pada waktu itu juga saya rasa risau keadaan kucing
yang saya hendak dibawa pulang bersama. Mujur sesuatu yang tidak diingini
berlaku ketika itu.
Kemudian
saya kembali menolak motorsikal ikut jalan highway. Memang terasa jauh dan
memenatkan. Ada juga sahabat facebook saya yang ingin membantu tapi saya tidak
mahu menyusahkan mereka. Tambahan pula dalam tempoh waktu Perintah Kawalan
Perjalanan ini.
Semasa
sedang menolak motorsikal, ada juga dua orang pemuda yang tidak dikenali telah
membantu menunda motorsikal saya. Seorang pemuda yang hendak balik ke Selayang
telah menunda motorsikal saya hingga ke jalan susur keluar highway dan seorang
lagi yang hendak balik ke rumahnya di Taman Bersatu, Rawang telah membantu
menunda dari Tesco Rawang hinggalah ke kawasan kediaman saya. Mulia sungguh
hati adik-adik-adik yang sudi menghulurkan pertolongan kepada saya. Semoga
Allah swt merahmati dan memberkati hidup mereka berdua.
Alhamdulillah
akhirnya sampai juga saya ke kawasan kediaman. Kemudian kucing sporo itu
terpaksa saya lepaskan kembali bawah blok kediaman saya. Saya terlah bertanya
kepada doctor adakah boleh melepaskannya kembali? Doctor kata boleh tapi saya
kena pantaunya dan berinya makan ubat hingga sembuh. Memanglah ada risikonya
tapi keadaan tidak mengizinkan untuk saya bawanya ke dalam rumah. Harap kucing
itu berupaya sembuh nanti.
Walaubagaimanapun
jika ada sesiapa yang berupaya menjaga dan merawatnya saya sedia menyerahkan
kucing itu. Saya memang tiada pengalaman dan keupayaan untuk merawat kucing
yang ditimpa penyakit sporo. Sebab itu saya berharap supaya saya tidak
ditemukan dengan kucing yang mengalami sporo.
Bagaimana
pula dengan masalah kerosakan motorsikal saya itu? Saya rasa motorsikal saya
itu mengalami masalah enjin yang teruk. Kos untuk membaikinya sudah tentulah
mahal. Tidak dapatlah saya melakukan kerja sambilan selama beberapa hari dan
yang lebih membimbangkan bagaimana saya hendak memberi makan pada kucing-kucing
gelandangan di luar sana? Ada lokasi sejauh 33km dari kediaman saya. Kenalah
saya cari jalan penyelesaian.
Dikesempatan
ini saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada seorang sahabat facebook
saya yang telah sudi membantu dengan memberi sumbangan agar saya dapat membawa
kucing malang itu ke klinik untuk mendapatkan rawatan. Tanpa bantuan daripada
beliau tentu saya tidak dapat membawa kucing itu ke klinik.
Comments