DEMI MEMASTIKAN NASIB KUCING JALANAN TIDAK TERABAI, MOHAMAD AZHAR ALIAS SANGGUP MELAKUKAN PEKERJAAN SAMBILAN SEBAGAI PEKERJA PEMBERSIHAN DI LEBUH RAYA
Alhamdulillah
berbanyak terima kasih kepada pihak harian metro online kerana sudi menyiarkan
kisah saya pada 28hb. Februari 2020.
Ucapan
penghargaan terima kasih juga ditujukan kepada Wartawan En Redzuan Muharam dan Juru Foto En Hairul Anuar Rahim.
Cari duit lebih demi si bulus :
DEMI
memastikan nasib kucing jalanan tidak terabai, Mohamad Azhar Alias sanggup
melakukan pekerjaan sambilan sebagai pekerja pembersihan di lebuh raya untuk
meraih pendapatan sampingan.
Mohamad
Azhar, 43, berkata, pekerjaan itu dilakukan sejak Jun lalu bagi menampung
perbelanjaan membeli makanan untuk kucing jalanan yang terbiar di hentian
berhampiran lebuh raya.
Katanya,
ia didorong oleh aktiviti memberi makanan kepada kucing yang dilakukan sejak
Februari 2018 dan berterusan hingga kini dengan memberi tumpuan di lima hentian
lebuh raya iaitu berhampiran Plaza Tol Taman Rimba Templer, Rawang serta empat
lagi di kawasan sekitar.
Walaupun
berdepan cabaran dari segi kewangan, dia tekad meneruskan aktiviti itu kerana
simpati dan enggan melihat kucing berkenaan terbiar dalam keadaan kelaparan
memandangkan ada di antaranya dibuang pemilik asal.
“Saya
pernah bekerja sebagai eksekutif di jabatan Sumber Manusia selama tiga tahun
bermula 2005 tetapi meletak jawatan kerana mahu memberi tumpuan kepada
perniagaan kek yang diusahakan bersama isteri sejak Disember 2008.
“Hasil
pendapatan daripada perniagaan itu membantu saya membeli keperluan 18 kucing
peliharaan di rumah dan makanan untuk yang ditemui di jalanan.
“Namun,
pulangan hasil jualan kek agak berkurangan berbanding dulu dan disebabkan itu,
saya ambil keputusan bekerja sebagai pekerja pembersihan dengan harapan ia
dapat menampung perbelanjaan makanan kucing, terutama yang terbiar di hentian
lebuh raya,” katanya ketika ditemui Harian Metro di Plaza Tol Taman Rimba
Templer.
Mohamad
Azhar berkata, pada mulanya, isteri, Samsida Mohd Ali, 50, tidak menyokong
hasratnya bekerja sebagai pekerja pembersihan kerana kurang yakin dengan
kemampuannya.
“Memang
dia (isteri) tidak galakkan dan minta saya cari kerja lain yang lebih
bersesuaian kerana sebelum ini, saya bekerja di pejabat.
“Bukan
kerana malu cuma dia bimbang jika saya tidak dapat menyesuaikan diri tetapi
sebab utama saya bekerja di sini adalah kerana waktu kerjanya yang fleksibel.
“Lagipun,
saya memang memerlukan wang, sekurang-kurangnya RM1,500 setiap bulan untuk
membeli makanan kucing terbiar itu jadi mahu atau tidak, saya perlu melakukan
pekerjaan sampingan tanpa bergantung dengan keuntungan perniagaan semata-mata,”
katanya yang menetap di Taman Tun Teja, Rawang.
Berkongsi
rutin hariannya, Mohamad Azhar berkata, sebelum ke tempat kerja, dia akan
menguruskan kucing peliharaannya di rumah terlebih dulu.
Kemudian,
katanya, barulah dia akan ke tempat kerja dengan membawa bersama makanan untuk
diberi kepada kucing yang ada di setiap hentian.
“Saya
memperuntukkan kira-kira 3.5 Kilogram (kg) makanan setiap hari untuk diberi kepada
kucing di lima hentian berkenaan.
“Kebiasaannya,
aktiviti itu dilakukan selepas selesai melakukan kerja pembersihan di setiap
hentian dengan menempatkan makanan dalam bekas di satu tempat supaya tidak
mengotorkan kawasan berkenaan.
“Setakat
ini, saya puas kerana dapat membantu dan akan terus melakukannya selagi
termampu,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada :
Jumaat, 28 Februari 2020 @ 12:05 AM
Comments