Skip to main content

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI. APALAH NASIB KUCING-KUCING YANG DIBUANG DI KEDAI MAKAN

Alhamdulillah setelah menjalani ibadah puasa selama sebulan pada bulan Ramadhan tahun ini yang berakhir semalam, hari ini kita meraikan Hari Raya Aidil Fitri yang juga merupakan hari kemenangan buat kita yang berjaya menahan lapar serta dahaga dan melawan hawa nafsu.

Mesti ramai yang bercuti panjang untuk meraikan hari raya. Maklumlah cuti sekolah pun 2 minggu. Kedai-kedai makan pun tentu akan tutup beberapa hari. Ada juga kedai makan yang tutup sepanjang bulan Ramadhan kerana pemiliknya mengambil peluang untuk berehat bagi memberi tumpuan sepenuhnya pada amal ibadat dan ramai juga yang tutup kedai makan mereka kerana berniaga di bazar-bazar Ramadhan sepanjang bulan Ramadhan.

Namun begitu, apakah nasib kucing-kucing gelandangan / kucing-kucing yang dibuang di kedai-kedai makan yang tutup sepanjang bulan Ramadhan dan beberapa hari pada awal bulan Syawal? Kucing-kucing berkenaan hanya bergantung pada sumber makanan (sisa-sisa makanan) yang diperolehi daripada pengunjung kedai makan yang simpati serta berhati mulia dan juga daripada pemilik kedai makan yang bermurah hati yang sanggup memberi makan pada kucing-kucing gelandangan yang terdapat di sekitar kedai mereka.
gambar seekor kucing betina bunting yang dibuang di sebuah kedai makan
Tentu kucing-kucing gelandangan atau yang dibuang di kedai-kedai makan yang sedang tutup itu menderita kelaparan ketika ini dan boleh menyebabkan mereka jatuh sakit. Wahai si pembuang kucing, tidak kah anda rasa bersalah membuang kucing? Kebanyakan kucing yang dibuang hidup menderita kerana diabaikan tanpa mendapat makanan serta air untuk diminum, dizalimi, jatuh sakit / terdedah pada pelbagai penyakit dan hidup menderita di tempat mereka dibuang. Jadi saya merayu tolonglah jangan buang kucing anda walau apa alasan sekali pun. Kita manusia dikurniakan akal fikiran yang hebat.
Dikesempatan ini saya ingin mengucapkan “Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin” buat semua pencinta kucing dan anda yang sudi berkunjung ke laman blog saya ini. Semoga anda semua gembira dan ceria meraikan hari raya bersama keluarga dan sanak-saudara.  

Comments