BUAT KERJA SAMBILAN 8 JAM SETIAP HARI UNTUK DAPATKAN WANG TAMBAHAN BAGI MEMBELI MAKANAN DAN KEPERLUAN KUCING
Setiap hari saya memberi makan buat
lebih 50 ekor kucing. Kucing bawah jagaan saya dalam rumah 18 ekor, kucing
gelandangan di kawasan kediaman pangsapuri saya kira-kira 12 ekor dan
selebihnya kucing gelandangan di beberapa hentian lebuhraya bertol yang tiada
sumber makanan.
Jadi saya memerlukan 5kg makanan
dalam bentuk pepejal @ biskut kucing setiap hari. Apabila tidak cukup wang
untuk membeli makanan kucing, terpaksalah saya membuat catuan makanan dengan
cara mengurangkan kuantiti pemberian makanan dan memberi makan 2 hari sekali
buat kucing-kucing gelandangan itu.
Disebabkan tidak sanggup melihat
kucing-kucing gelandangan itu terpaksa menahan kelaparan bila saya tidak dapat
memberi mereka makan kerana kekangan kewangan, jadi saya pun berusaha menambah
pendapatan dengan melakukan kerja sambilan setiap hari sebagai Pengawal
Keselamatan di sebuah sekolah jenis kebangsaan cina. Jarak tempat kerja dari
rumah saya kira-kira hanya 4 kilometer sahaja. Setiap hari saya bekerja selama
8 jam bermula dari jam 4 petang hingga 12 malam.
Selain dapat wang tambahan, dapatlah
juga saya merasai pengalaman kerja sebagai Pengawal Keselamatan. Hanya seorang
Pengawal Keselamatan yang bertugas setiap syif, maka jadinya saya bersendirianlah
menjaga keselamatan kawasan sekolah cina itu yang terletak di atas sebuah bukit
dan terdapat juga kawasan belukar berhampiran sekolah.
Pada sebelah petang monyet-monyet
liar akan keluar dari belukar berhampiran untuk mencari makanan. Kesian pula
melihat monyet-monyet itu menyelongkar tong sampah mencari sisa makanan. Jadi
saya pun berilah monyet-monyet itu makan. Inilah yang membuatkan saya seronok
bekerja disitu.
Selepas hari raya nanti saya
bercadang nak menjadi Perunding Hartanah yang berdaftar dengan sebuah agensi
hartanah berlesen dan saya akan berhenti dari melakukan kerja sambilan Pengawal
Keselamatan ini.
Semoga segala urusan saya untuk
mencari dana bagi membeli makanan dan barangan keperluan kucing-kucing bawah
jagaan saya dan juga kucing-kucing gelandangan itu dipermudahkan.
Comments