Suasana hari raya masih dirasai
walaupun hari ini sudah pun 4 syawal. Kedai-kedai makan milik orang kita masih
lagi tutup. Mungkin kedai-kedai makan akan mula beroperasi seperti biasa pada
hari isnin minggu depan.
Sedih mengenangkan kucing-kucing yang
hidup gelandangan di kedai-kedai makan akibat dibuang oleh manusia yang tidak
bertanggungjawab. Kucing-kucing itu tentu sedang menderita kelaparan pada
ketika ini. Semua kedai-kedai makan milik orang kita tutup kerana cuti hari
raya. Kucing-kucing gelandangan di kedai-kedai makan hanya bergantung pada
ihsan pengunjung atau pelanggan kedai untuk mendapatkan sisa-sisa makanan.
Selain itu mengharapkan simpati daripada pekerja dan pemilik kedai makan untuk
memberi mereka sisa-sisa makanan. Ada juga kucing yang pandai menyelongkar tong
sampah untuk mendapatkan sisa makanan.
Tapi jika kedai makan berkenaan tutup
selama 5 hingga 7 hari kerana cuti raya, bagaimanakah kucing-kucing itu hendak
mendapatkan sumber makanan? Tentu kucing-kucing gelandangan di situ akan menderita
kelaparan.
Jadi malam tadi saya telah meluangkan
masa meronda di beberapa kawasan lot kedai makan yang jarak lokasinya 3km
hingga 10km dari kediaman saya.
Namun begitu, kucing yang terdapat di
lokasi pertama di hadapan sebuah kedai, membuatkan saya rasa tersentuh dan sedih.
Saya jumpa seekor ibu kucing serta dua ekor anaknya yang masih kecil anggaran
usia dalam 2 bulan berada di hadapan sebuah kedai. Pada mulanya mereka seperti
takut dengan saya tapi bila saya letakkan makanan (biskut kucing) mereka pun
datang pada saya.
Sebenarnya saya biasa lalu di kawasan
berkenaan tapi tidak pernah ternampak mereka. Saya rasa mereka mungkin baru
dibuang sehari dua sebelum tibanya hari raya. Hara psi ibu dan 2 ekor anaknya
selamat daripada kezaliman manusia. Insya Allah saya akan datang ke situ lagi
untuk beri mereka makan.
Comments