TAK DAPAT BERI MAKAN PADA KUCING JALANAN / GELANDANGAN DI BEBERAPA LOKASI KERANA MOTORSIKAL MENGALAMI KEROSAKAN DI HIGHWAY
Sudah 2 hari saya tidak dapat beri makan pada
kucing-kucing jalanan / gelandangan di beberapa lokasi yang sukar buat
kucing-kucing di situ hendak mendapatkan makanan untuk terus hidup.
Semalam hari Ahad motorsikal saya megalami keroskan di
highway ketika sedang bertugas membuat rondaan untuk mengutip sampah-sampah
yang dibuang oleh pengguna highway. Saya bekerja sambilan sebagai pengutip
sampah di highway berkenaan.
Akibat dari kerosakan pada bahagian roda / rim,
motorsikal saya tidak boleh bergerak atau ditolak. Jadi terpasalah saya
tinggalkan motorsikal saya di tepi jalan highway dan berjalan kaki sejauh 3km
menuju ke plaza tol. Dalam hati risau juga keselamatan motorsikal saya kerana
saya biasa lihat motorsikal yang rosak di tepi jalan hilang beberapa komponen
serta aksesori akibat dicuri.
Kemudian saya maklumkan kepada Penyelia saya untuk
meminta pertolongan mengangkut motorsikal saya ke bengkel motorsikal dengan menggunakan
lori syarikat tapi malangnya hari Ahad adalah hari cuti rehat Pemandu Lori
manakala Penyelia saya pula berada di luar kawasan. Motorsikal saya hanya dapat
diangkut pada keesokkan hari iaitu hari Isnin.
Tapi bagaimana pula saya hendak pulang ke rumah? Itu satu hal yang saya kena fikirkan dan juga
bagaimana saya nak beri makan pada kucing-kucing jalanan / gelandangan di
lokasi biasa yang saya kunjungi itu? Saya lebih risaukan tentang bagaimana saya
hendak beri makan pada kucing-kucing di beberapa lokasi berkenaan. Harap
kucing-kucing itu boleh bertahan.
Hari ini motorsikal saya telah diangkut dan dibawa ke
sebuah bengkel motorsikal terletak di sebuah taman perumahan yang jaraknya
kira-kira 10km dari lokasi motorsikal saya tersadai akibat kerosakan.
Kemudian dengan menaiki grab car, pada pukul 1.30
tengahari tadi saya telah tiba di bengkel motorsikal berkenaan. Saya terpaksa
naik grab car sebab di lokasi yang saya tuju itu tiada kemudahan pengangkutan
awam seperti bas. Yang masuk ke kawasan berkenaan hanyalah grab car sahaja.
Jadi terpaksalah saya mengeluarkan perbelanjaan RM 30 untuk menaiki grab car
dari kawasan kediaman saya.
Menurut mekanik bearing dan rim belakang motorsikal
saya telah rosak. Tapi kedai berkenaan tidak mempunyai stok alat ganti iaitu rim
yang sesuai serta boleh dipasang pada motorsikal saya. Jadi mekanik
mencadangkan hanya mengantikan bearing sekadar untuk boleh mengerakkan
motorsikal saya buat sementara waktu. Tidak mengapalah asalkan boleh bergerak
dan nanti saya akan ke bengkel di tempat yang biasa saya baiki motorsikal untuk
mengantikan rim yang rosak. Kos tukar bearing tadi RM 32.00. Sebenarnya saya
risau tentang kos untuk mengantikan satu set sport rim baru yang harganya
sekitar RM 280.00.
Kenalah saya berjimat cermat dan makan ala kadar saja sekadar
mengalas perut setiap hari dalam keadaan sekarang. Pendapatan hasil dari isnes
online yang saya usahakan sejak tahun 2008 pula mengalami kemerosotan yang
mendadak. Kucing-kucing bawah jagaan saya pula ada yang sedang sakit dan
perlukan rawatan. Ini juga memerlukan perbelanjaan tambahan. Disamping itu juga
saya perlu menyediakan perbelanjaan harian untuk membeli makanan biskut kucing
paling kurang 5kg setiap hari untuk diagihkan pada kucing-kucing jalanan /
gelandangan. Mujurlah saya buat kerja sambilan sebagai Pengutip Sampah untuk
menampung perbelanjaan untuk kucing.
Hari ini adalah hari yang kedua saya tidak dapat
berkunjung ke beberapa lokasi terutamanya di hentian highway yang jauh kerana
saya perlu mencari kedai atau bengkel motorsikal yang ada menjual sport rim
terpakai yang sesuai dipasang pada motorsikal saya kerana risau masalah
kerosakan yang sama akan berulang.
Sekarang ini motorsikal saya hanya sekadar boleh
bergerak saja tapi tiada jaminan boleh bertahan lama lagi kerana hab pada
bahagian sport rim yang rosak itu akan menyebabkan bearing rosak dalam jangka
masa yang singkat. Tambahan pula cuaca tidak mengizinkan untuk saya bergerak
jauh kerana hujan lebat petang tadi. Memang sedih kerana sudah dua hari saya
tidak dapat memberi kucing-kucing jalanan / gelandangan di beberapa lokasi itu
makan.
Memandangkan motorsikal adalah pengangkutan utama saya
ketika ini untuk bergerak, maka macam mana keadaan sekalipun terpaksalah juga
saya baiki kerosakan dan mengantikan sport
rim yang telah rosak itu nanti walaupun pada ketika ini saya sedang bergelut
dengan masalah aliran tunai. Harap Allah swt permudahkan segala urusan saya.
Comments