Saban hari saya melihat begitu banyak
kucing-kucing jalanan yang berkeliaran mencari makanan bagi mengisi perutnya
yang lapar di kawasan kedai makan, pasar dan tempat pembuangan sampah di
kediaman rumah pangsapuri. Saya berasa sedih bila melihat ada kucing yang
terpaksa melompat masuk ke dalam tong sampah besar yang barbau busuk dan kotor
untuk mencari sesuatu yang boleh dimakan.
Pada asalnya kebanyakan kucing-kucing
jalanan itu memiliki tuan. Namun tuannya yang tidak bertanggungjawab telah
membuang kucing-kucing itu di kawasan kedai makan, pasar, kawasan kediaman pangsapuri dan lain-lain
tempat. Kenapa kebanyakan mereka yang tak bertanggungjawab membuang kucing di
kedai-kedai makan dan pasar? Mereka beranggapan di situ mudah untuk kucing
mencari dan mendapatkan makanan.Tapi bukan semua kucing yang dibuang oleh tuannya
itu pandai mencari makanan dan bukannya mudah kucing-kucing itu hendak
mendapatkan makanan untuk terus hidup. Sesetengah kucing tidak pandai
menyelongkar tong sampah untuk mencari sesuatu yang boleh dimakan kerana sudah
biasa mengharapkan tuannya menyediakan makanan serta air untuk mereka minum.
Bagi kucing yang jinak dan tidak
takut pada sesiapa, mereka akan pergi meminta simpati bagi mendapatkan secebis
sisa makanan daripada pengunjung kedai makan. Jika bernasib baik ada pengunjung
kedai makan yang berasa kesian dan simpati terhadap kucing yang datang meminta
makanan maka dapatlah kucing itu menjamah secebis sisa makanan untuk mengisi
perutnya yang lapar. Jika tidak bernasib baik kucing itu akan dihalau dengan
cara direnjis atau disiram air minuman, disepak, dipukul dengan penyapu oleh
tuan kedai dan lain-lain cara lagi yang kejam dan zalim.
Saya sendiri pernah melihat di sebuah
kedai makan, seorang lelaki menyepak seekor kucing jantan yang datang meminta
makanan daripadanya dan kemudian kucing itu berjalan dalam keadaan tempang.
Kemudian saya memanggil kucing itu dan berinya makanan yang sering saya bawa dalam
beg untuk diberikan pada kucing-kucing jalanan yang saya terserempak. Jika saya
tidak membawa makanan kucing, biasanya saya akan beri ayam goreng yang saya
beli di kedai makan berhampiran.
Seperti manusia, kucing juga adalah
mahkluk ciptaan tuhan yang memerlukan makanan dan air untuk diminum agar mereka
boleh meneruskan kehidupan. Jadi jika saya ternampak atau didatangi oleh
kucing-kucing jalanan yang meminta makanan, saya pasti menghulurkan makanan.
Tak sanggup melihat kucing itu beredar tanpa mendapat walau sedikit makanan
daripada saya.
Itulah yang mendorong saya pergi ke
beberapa lokasi yang telah dikenalpasti sukar bagi kucing-kucing gelandangan di
sana mendapatkan sumber makanan untuk memberi mereka makan seiap hari.
Kebiasaannya saya akan ke tempat-tempat berkenaan pada waktu malam. Adakalanya
sy pergi waktu siang jika ada masa terluang di waktu siang terutama jika tiada
urusan kerja. Tapi pada waktu malam saya dapati kucing-kucing berkenaan lebih aktif
keluar. Saya juga telah membelanjakan wang yang banyak untuk membeli makanan
buat kucing jalanan. Semoga saya sentiasa diberikan kesihatan yang baik agar
dapat memberi makan setiap hari buat kucing-kucing gelandangan yang kelaparan
di lokasi berkenaan.
Comments