Pada malam hari Sabtu minggu lepas, saya terbaca perkongsian
maklumat melalui facebook milik seorang sahabat fb saya. Beliau berkongsi
maklumat mengenai seekor kucing yang didapati lumpuh di sebuah pangsapuri di
Gombak Permai, Batu Caves, Selangor. Kisah ini telah dimuatnaik oleh seorang
group member di sebuah group facebook berkaitan kucing.
Kemudian saya pun memberi maklumbalas
untuk membantu mengambil kucing berkenaan sambil dalam benak saya sudah terbayang
akan saya serahkan kucing malang itu kepada pihak Sollu Shelter yang
kebiasaannya sudi menghulurkan pertolongan dalam usaha menyelamatkan kucing-kucing
jalanan yang cedera ditimpa musibah.
Kalau ikutkan hati malam itu juga
saya hendak ke kawasan berkenaan untuk mengambil kucing yang lumpuh itu tapi
maklumat lokasi sebenar belum saya ketahui dan lagi pun saya tak mahu menganggu
pemberi maklumat pada waktu tengah malam.
Pagi ini hari Ahad 04hb Mac 2018 saya
telah menghubungi pemberi maklumat melalui whatsapp untuk bertanyakan status
mengenai kucing itu sama ada telah diselamatkan oleh pihak lain atau masih
berada disitu. Sebaik sahaja pemberi maklumat memberitahu kucing itu masih
disana, saya pun bersiap sedia untuk ke lokasi yang dimaklumkan. Saya perlu
segera ke sana memandangakan pada jam 12 tengahari saya ada temujanji dengan
pelanggan yang ingin mengambil barang yang telah mereka tempah.
Pada mulanya saya telah pergi ke
lokasi pangsapuri yang salah. Namun
setelah menghubungi semula pemberi maklumat dan berpatah balik saya telah ternampak papan tanda jalan untuk
ke Pangsapuri Permai. Maklumlah saya tak berapa biasa dengan kawasan berkenaan
dan saya tak dapat merujuk google map kerana terdapat masalah pada tablet saya.
Alhamdulillah akhirnya saya sampai ke
Pangsapuri Permai dan berjaya menemui kucing berkenaan. Memang benar seperti yang diberitahu, saya nampak kucing itu tak berupaya berjalan dan hanya terbaring. Ia hanya berupaya mengangkat kepalanya dan saya dapati keadaan kucing itu agak kurus kerana mungkin sudah beberapa hari tak dapat menjamah makanan. Saya membawanya balik ke rumah dulu sebelum menyerahkan kepada Sollu Shelter. Semasa berada di rumah saya, saya suapkannya air dan makanan supaya ia bertenaga sebelum dihantar kepada pihak Sollu Shelter.
Temujanji saya dengan Mummy J Sollu Shelter untuk menyerahkan kucing itu pada pukul 9 malam. Saya bergerak dari rumah di Rawang pukul 8 malam. Saya menghantar kucing itu dengan motorsikal. Seperti biasa saya melalui lebuhraya latar dan guthrie untuk ke Shah Alam. Ketika menunggang motorsikal di lebuhraya latar sebelum memasuki lebuhraya guthrie, saya rasa seakan ada yang mengalir diseluar saya. Kemudian saya memberhentikan motorsikal untuk memastikan air apakah yang mengalir dan membasahkan seluar dibahagian peha kiri saya. Rupanya kucing itu telah membuang air kecilnya dengan banyak. Maklumlah pada sebelah siang saya telah memberinya air dan ia minum dengan banyaknya.
Kemudian saya singgah berhenti di Plaza Tol Bukit Jelutong untuk mencuci tangan saya yang melekit dan membersihkan bahagian seluar yang terkena air kencing itu tadi. Sebaik selesai dan keluar dari tandas, saya terkejut melihat ada seekor anak kucing yang comel dalam lingkungan usia 2 bulan lebih sedang berada di motorsikal saya.
Akhirnya setelah menempuh perjalanan pada sebelah malamnya dari Rawang ke Seksyen 7, Shah Alam saya telah berjaya menyerahkan
kucing itu kepada pihak Sollu Shelter malam tadi untuk mendapatkan rawatan dan
penjagaan sepenuhnya. Berbanyak terima kasih Mummy J dari Sollu Shelter.
Comments