MENYELAMATKAN SEEKOR ANAK KUCING YANG DILANGGAR DI PERSIMPANGAN JALAN MENUJU LINGKARAN TENGAH MRR2 / BERHAMPIRAN JEJAMBAT BULATAN BATU CAVES
Semalam sewaktu saya dalam perjalanan
dari Rawang untuk mengambil seekor kucing yang telah dilanggar di Sungai Besi,
Kuala Lumpur, saya ternampak seekor anak kucing berwarna hitam yang sedang
berlari-lari untuk mengelak kenderaan yang lalu di persimpangan jalan menuju ke
jalan lingkaran tengah MRR2 dan berhampiran dengan jejambat bulatan Batu Caves.
Saya dengan lantas memberhentikan motorsikal untuk menyelamatkannya. Tapi
kemudiannya saya dapati kaki belakang sudah terkulai akibat dilanggar dengan
sebuah kereta dan anak kucing itu mengesot untuk bergerak.
Saya memberanikan diri dengan menahan
kereta yang lalu di kawasan itu untuk menangkapnya kerana bimbang ia akan
dilangar sekali lagi dan boleh mengancam nyawanya. Alhamdulillah saya berjaya
menangkap anak kucing itu walaupun jari tangan kanan saya telah digigit dengan
kuatnya kerana anak kucing itu berada dalam keadaan panik dan ketakutan. Saya
memasukkannya ke dalam sangkar yang sebenarnya saya bawa untuk mengambil kucing
yang dilanggar serta cedera di Sungai Besi itu.
Saya percaya anak kucing itu
sebenarnya telah dibuang di kawasan itu. Ia kelihatan bersih dan tidak comot.
Mustahil ia boleh merayap hingga ke situ memandangkan keadaan jalanraya
jejambat yang semtiasa sibuk dengan kenderaan tambahan pula tiada rumah
kediaman yang berada berhampiran dengan jalan itu. Buat masa ini saya akan jaga anak kucing ini sebelum
diserahkan kepada Sollu Shelter untuk dirawat dan dijaga sepenuhnya.
Perkembangan terkini mengenai anak
kucing ini akan saya kemaskini lagi nanti.
Comments