Beberapa hari yang lepas, pintu rumah
saya diketuk oleh beberapa orang kanak-kanak (anak-anak kejiranan). Bila pintu
dibuka, seorang daripada mereka bertanya, anak kucing ni pakcik punya ke? Saya
jawab bukan. Saya bertanya jumpa anak kucing ni dekat mana? Bawah tangga
jawabnya. Kemudian kanak-kanak ini
berkata “tolonglah bela anak kucing ni pakcik, kasihan saya tengok dia masa
jumpa kat bawah tangga tu”. Anak-anak jiran ni memang tahu saya sukakan kucing
dan setiap hari mereka nampak saya beri kucing-kucing terbiar makan di depan
rumah.
Baru saya perasan, agaknya ini anak
kucing gelandangan yang setiap hari singgah makan di depan rumah saya dan ibu
kucing ni pun memang selalu saya belainya, sebabnya memang ia sedang bunting
dan menunggu masa untuk melahirkan anaknya. Memang tepat sekali jangkaan saya
kerana kanak-kanak itu memberitahu
memang itulah ibunya yang sebelum ini menyorokkan anaknya dalam himpunan kotak
yang dikutip untuk dijual oleh pekerja pembersihan bangunan dan diletakkan bawah
tangga.
Tapi saya tertanya-tanya, takkan sekor
saja anak yang dilahirkan oleh ibunya? Atau jika ada anaknya yang lain mungkin
sudah mati agaknya sebab beberapa hari
sebelumnya, hujan lebat berpanjangan kerap turun di kawasan sini.
Sebenarnya saya agak terkejut melihat
saiz anak kucing ini. Usianya yang masih dikategorikan baby tapi kelihatan agak
besar. Biasa saya lihat anak kucing yang seusia dengannya lebih kecil saiznya.
Jantinanya belum dapat saya kenal pasti lagi.
Buat sementara waktu ni saya
menempatkan si anak kucing dengan ibunya di kawasan sisi rumah yang menghubungkan
ruangan dapur dengan tempat mesin basuh pakaian. Kini saya telah memindahkan
mesin basuh ke tempat lain supaya kawasan itu jadi lebih lapang dan selesa
untuknya bergerak. Insyaallah saya akan jaga anak kucing ini dan ibunya dengan
sebaiknya. Ada rezeki lebih saya ingin mandulkan ibunya untuk mengelakkan
pembiakan yang tak terkawal.
Gambar si ibu kucing |
Comments