Kecik bukanlah kucing terbiar yang
saya kutip dijalanan. Kecik sebenarnya diserahkan
oleh tuannya kepada saya bersama dengan Daisy pada bulan Ogos 2017 yang lalu.
Kisah Daisy yang asalnya kucing yang saya jumpa dalam kotak di hadapan rumah
sewaktu usianya beberapa bulan, kemudian diberikan kepada seseorang yang
berminat mengambil serta membelanya. Namun selepas setahun akhirnya Daisy
dipulangkan semula kepada saya kerana tuannya yang sebelum ini membelanya telah
mengalami masalah kesihatan. Kisah Daisy telah saya cerita pada entri yang
lalu. Boleh baca semula kisah Daisy di link ini http://www.rezekikucing.com/2017/08/bagaikan-mimpi-selepas-setahun-daisy.html
Kecik telah diserahkan kepada saya
bersama Daisy. Pada mulanya saya tidak berhasrat membela keduanya kerana
bimbang kucing saya iaitu Dinaz dan Cik Kam yang sukar menerima kehadiran
kucing lain dalam rumah. Lalu saya bercadang hendak menyerahkan Kecik dan Daisy
pada seseorang dan sementara waktu nak menyerahkan Kecik dan Daisy pada
seseorang, saya menempatkan keduanya dalam kurungan di kawasan luar tepi rumah
yang menghubungkan tempat letaknya mesin basuh dan dapur. Terpaksalah saya
tutup ruangan kosong yang tak berdinding dengan jaring supaya mereka tak keluar
berkeliaran. Namun akhirnya saya membuat keputusan untuk terus memelihara Kecik
dan Daisy disebabkan berasa kasihan dan melihat kedua-duanya sudah mula menunjukkan
keserasian pada saya dan isteri.
Begitu cepat masa berlalu. Kini sudah
awal bulan Oktober. Kecik dan Daisy sudah saya lepaskan dari tempat kurungan
sementara dan bebaskan mereka sepenuhnya dalam kawasan rumah. Kecik ni memang
senang dijaga, tak banyak karenah, manja dan selalu teman saya dan isteri tidur
pada waktu malam. Cuma satu masalah yang
Kecik dan Daisy perlu hadapi buat sementara waktu ini. Keduanya perlu serasi
bergaul dan sabar dengan Dinaz dan Cik Kam yang sukar menerima kehadiran kucing
lain dalam rumah. Saya berharap juga
Dinaz dan Cik Kam akan turut membiasakan diri dengan kehadiran Kecik dan Daisy.
Saya hanya bela kucing-kucing saya dalam rumah saja dan takkan sesekali
benarkan mereka semua keluar dari rumah. Ini juga merupakan satu tanggungjawab
baru buat saya. Saya akan membela kedua-duanya dengan sebaiknya sepertimana
saya membela Dinaz dan Cik Kam.
Kecik dan Daisy |
Comments