Pada 23hb. September 2021, seekor kucing terbiar yang menumpang teduh di bawah blok kediaman saya setelah dibuang oleh manusia yang tidak bertanggungjawab, akhirnya pergi buat selamanya. Sehingga kini saya masih terbayang seolah ia datang meminta makan seperti biasa setiap hari. Sahabat saya di blok sebelah menamakannya “Abu”.
Setiap hari saya memberi makan kepada kucing-kucing terbiar di bawah blok saya sejak tiga tahun yang lalu. Ada juga beberapa ekor yang saya jaga mereka di dalam rumah. Yang mana bernasib baik dapatlah bertemu dengan penjaga baru. Yang malang dibuang kerana sakit akhirnya ditemui mati di kawasan blok kediaman saya. Namun ada juga yang lebih malang. Ditangkap kemudian dibuang ke tempat lain. Apakan daya. Bukan semua kucing yang berupaya diselamatkan dan diberi penjagaan dalam rumah kecil saya. Memang sedih dibuatnya.
Yang terbaru pergi buat selamanya kerana tiba-tiba sakit, kucing jantan berwarna oren. Kucing ini dibuang di kawasan blok kediaman saya. Pada mulanya ia agak liar dan tidak mudah didekati. Tapi lama-kelamaan ia menjadi jinak kerana sudah biasa dengan saya yang memberinya makan setiap hari.
Pernah juga saya berusaha untuk mendapatkannya keluarga angkat yang sudi menjaganya. Namun tidak berjaya. Bukan mudah sebenarnya kita nak mempertemukan kucing-kucing yang dibuang dengan penjaga baru. Saya pula memang tidak berupaya menjaga semua kucing terbiar yang ditemui. Hanya berupaya memberi makan kepada mereka sahaja dan cuba mempertemukan mereka dengan penjaga baru.
Berbanyak terima kasih kepada jiran tetangga saya yang juga pencinta kucing kerana telah menguruskan (mengkemumikan) Abu. Semoga Allah swt memberi perlindungan kepada semua kucing-kucing terbiar / jalanan di luar sana. Mereka semua sebenarnya terdedah pelbagai risiko yang boleh mengancam keselamatan dan nyawa mereka. Jadi tolonglah jangan buang kucing. Kasihanilah mereka. Saya mendoakan buat anda yang berbuat baik kepada kucing, tidak kiralah sama ada kucing yang anda pelihara ataupun kucing-kucing jalanan, semoga anda beroleh ganjaran terbaik daripada Allah swt.
Jemput tonton rakaman video yang saya rakam kali terakhir buatnya :
Comments