Pada 14hb. September 2021 yang lepas saya telah menghantar si ibu kucing yang baru melahirkan empat ekor anaknya di sebuah hentian highway yang tiada kedai makan dan jauh dari kawasan kediaman manusia.
Asalnya si ibu dibuang beberapa bulan yang lepas bersama seekor lagi adik-beradiknya di hentian highway yang saya singgah setiap hari untuk memberi makan kepada kucing-kucing terbiar yang terdapat di situ.
Tujuan saya memberi makan kepada kucing-kucing yang terdapat di hentian highway itu adalah kerana saya berasa kesian melihat keadaan kucing-kucing berkenaan yang ketiadaan sumber makanan.
Membuang kucing adalah suatu tindakan yang zalim sebenarnya dan merupakan suatu kesalahan menurut Akta Kebajikan Haiwan 2015. Bagaimanapun masih ramai masyarakat kita yang tidak celik akan hal ini.
Bagi anda yang tidak sanggup memikul tanggungjawab dan sanggup berkorban masa serta tenaga untuk memelihara kucing, lebih baik janganlah bela kucing. Nanti akan menyusahkan banyak pihak dan akan menyebabkan kucing-kucing yang dibuang itu tiada tempat berteduh yang selamat, tiada sumber makanan dan berdepan dengan pelbagai risiko yang boleh mengancam nyawa mereka seperti dizalimi oleh orang yang tidak sukakan kucing.
Bukan mudah kami hendak mencari keluarga angkat atau penjaga baru buat kucing-kucing yang dibuang oleh manusia yang tidak bertanggungjawab. Bukan semua kucing bernasib baik dapat penjagaan dan perlindungan daripada keluarga angkat yang baru. Jadi sebelum membuat keputusan hendak membela kucing, fikirlah sebaik-baiknya. Membela kucing adalah suatu tanggungjawab dan bukan sebagai hobi atau suka-suka saja.
Dikesempatan ini saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada sahabat facebook saya yang sanggup mengambil tanggungjawab untuk menjaga si ibu kucing bersama empat ekor anaknya itu.
Oleh yang demikian, jangan pula ada pihak yang mengambil kesempatan membuang kucing kerana kononnya beranggapan kucing yang dibuang itu akan mendapat penjaga baru. Macam saya katakana tadi, bukan mudah kami hendak mencari keluarga angkat yang sudi menjaga kucing yang anda buang itu. Bertanggungjawablah terhadap kucing anda dan jagalah kebajikan mereka dengan sebaiknya.
JEMPUT TONTON VIDEO
KETIKA SAYA HENDAK MENGAMBIL DAN MENGHANTARNYA
KEPADA PENJAGA BARU :
Comments