Anda tentu biasa terserempak dengan
kucing-kucing gelandangan yang berkeliaran di kawasan seperti kedai makan,
pasar dan lain-lain tempat. Bagaimana kucing-kucing gelandangan itu boleh wujud
di tempat- tempat berkenaan? Kewujudan kucing-kucing gelandangan di suatu
tempat itu yang biasa terjadi, sudah tentulah ada manusia yang tak
bertanggungjawab membuangnya disitu sama ada sengaja dibuang oleh tuannya atau
mungkin ada juga yang dibuang oleh jiran yang bencikan kucing. Mungkin ada juga
kucing yang sesat tak jumpa jalan balik ke rumah tuannya tapi pada saya kes
seperti ini amat jarang berlaku. Yang selalu berlaku tuannya sendiri yang
membuang kucing di tempat-tempat berkenaan.
Ada juga kucing yang dibuang oleh
manusia yang zalim di kawasan lebuhraya yang tiada kedai makan dan jauh dari kawasan
perumahan. Ini sudah tentu menyukarkan kucing-kucing yang dibuang itu mencari
atau mendapatkan sumber makanan. Jadi setiap malam saya akan ke tempat-tempat
seperti ini untuk memberi makan pada kucing berkenaan.
Saya seringkali disuruh memindahkan
atau bawa kucing-kucing gelandangan yang saya selalu beri mereka makan ke
tempat yang lebih selamat seperti menyuruh saya lepaskan kucing-kucing itu di
kawasan kedai makan, pasar dan pusat perlindunga kucing. Ok saya nak tanya anda
apakah pemahaman anda tentang “tempat yang selamat” untuk kucing? Adakah
seperti memindahkan kucing-kucing gelandangan itu ke kawasan kedai-kedai makan,
pasar dan di bawah kawasan kediaman bertingkat adalah dikira kawasan selamat?
Pendapat saya kawasan berkenaan
memang tidak selamat sama sekali untuk kucing menjalani kehidupannya kerana
terdedah risiko yang boleh mengancam diri mereka. Kawasan yang selamat untuk
kucing adalah dalam rumah dan bukannya lepaskan kucing-kucing itu di kawasan
kedai makan atau pasar dengan alasan memudahkan kucing mencari makanan padahal
bukan mudah sebenarnya kucing yang dlepaskan di kedai makan atau pasar hendak
mendapatkan makanan. Sebab itulah saya tidak bersetuju dengan pendapat atau
cadangan sesetengah pihak yang menyuruh saya memindahkan kucing-kucing
gelandangan itu. Selagi tiada siapa yang sudi mengambil tanggungjawab untuk
menjaga kucing-kucing itu di rumah mereka, maka saya tidak akan sewenang-wenangnya
memindahkan kucing-kucing berkenaan.
Tambahan pula kebanyakan
kucing-kucing itu takut pada manusia dan juga liar. Sukar juga untuk saya
mendekati mereka walaupun sudah berbulan saya bagi mereka makan. Ada
sesetangahnya saya perlu letak makanan dan beredear jauh sikit barulah
kucing-kucing itu datang makan. Jadi bagaimana saya hendak memindahkan mereka
misalkata ada pihak yang sanggup menjaga kucing-kucing itu? Tentu sukar
mendapatkan mereka.
Berdasarkan pemerhatian saya, saya
dapati kucing-kucing itu boleh menjalani kehidupan gelandangan di tempat
berkenaan kerana tiada gangguan dan selamat dari kezaliman manusia. Risiko
memang tetap ada seperti boleh mati kebulur kerana sukar mendapatkan makanan,
dilanggar kenderaan dan mendatangkan masalah buat kucing yang bunting dan
kemudian membesarkan anaknya yang beranak. Anak-anak kucing yang lahir disitu
kebanyakannya takut pada manusia dan banyak juga yang mati.
Ada juga yang menyuruh saya bawa
balik saja kucing-kucing gelandangan berkenaan ke rumah saya sendiri dan
menyuruh saya mengambil tanggungjawab menjaga semua kucing-kucing itu pula.
Mustahil ya saya berupaya mengambil tanggungjawab ini. Saya tinggal di rumah
pangsapuri yang kecil berkeluasan hanya 650 kaki persegi. Tentu sukar untuk
saya pelihara banyak kucing dalam rumah yang kecil. Saya juga perlu mempunyai
kemampuan untuk menyediakan kos perbelanjaan bagi membeli makanan, pasir tandas
dan kos rawatan serta pemandulan. Terikat dengan komitmen mencari rezeki atau
pendapatan, tentu sukar untuk menjaga kucing dalam bilangan yang banyak dalam
rumah dan di luar keupayaan dengan saya sebaiknya. Sungguhpun begitu saya ada
juga menjaga 10 ekor kucing dalam rumah saya.
Ke semua kucing-kucing yang saya jaga itu adalah kucing yang saya ambil
di jalanan.
Che Bu & Jojo anak kucing gelandangan yang saya jaga dan bela dalam rumah. Sudah hampir 5 bulan saya jaga mereka di dalam rumah. |
Terdapat juga pihak yang suruh saya
bawa atau serahkan saja kucing-kucing gelandangan yang saya selalu beri makan
itu ke Pusat Perlindungan Kucing (shelter). Kita harus faham pusat berkenaan
bukanlah tempat pembuangan kucing atau menerima kucing-kucing yang hendak
dibuang. Pusat Perlindunga Kucing yang ditubuhkan oleh pihak yang berkenaan
bukanlah seperti sebuah perniagaan yang ditubuhkan untuk menjana keuntungan.
Pusat Perlindungan Kucing lebih
memfokus dalam memberi perlindungan dan menyelamatkan nyawa kucing-kucing
malang yang ditimpa kecelakaan atau pun kucing-kucing yang benar-benar perlu
diberikan perlindungan itu pun dalam jumlah yang terhad kerana ruang dalam
pusat berkenaan juga adalah terhad dan tidak mencukupi untuk menampung jumlah
kucing yang banyak. Selain itu juga dana Pusat Perlindungan Kucing adalah
sangat terhad kerana matlamatnya penubuhannya bukan untuk menjana pendapatan
atau keuntungan. Dana yang diperolehi adalah hanya melalui sumbangan orang
ramai, badan bukan kerajaan dan syarikat korporat. Itu pun. Jadi tidak
sepatutnya kita mengharapkan Pusat Perlindungan Kucing mengambil tanggungjawab
menjaga semua kucing-kucing yang dibuang oleh manusia yang tidak
bertanggungjawab.
Sebenarnya bukanlah saya tidak
berusaha mendapatkan keluarga angkat yang sudi mengambil tanggungjawab
menjaga kucing-kucing gelandangan yang
dibuang di lokasi saya beri makan itu. Ada juga yang telah berjaya saya
dapatkan keluarga angkat untuk mereka walaupun tak banyak. Bukan mudah untuk
mencari dan mendapatkan keluarga angkat yang benar-benar sanggup menjaga
kucing-kucing itu. Saya rasa bersyukur dan lega bila dapat menemukan mereka
dengan insan berhati mulia yang sanggup menjaga mereka.
Kucing betina gelandangan di sebuah lebuhraya yang telah ditemukan dengan keluarga angkat |
Ibu kucing + 4 ekor anaknya ini telah berjaya ditemukan dengan keluarga angkat yang sudi mengambil tanggungjawab menjaganya dan 4 ekor anaknya |
Oleh yang demikian, seperti yang saya
katakan tadi, selagi tiada siapa yang sudi ambil tanggungjawab untuk menjaga
kucing-kucing gelandangan yang saya beri makan di merata lokasi itu terutama di
tempat-tempat yang tiada sumber membolehkan mereka mendapatkan makanan, maka
saya tidak akan sewenang-wenangnya melepaskan mereka di kawasan kedai makan,
pasar dan lain-lain tempat. Bukan mudah nak mendapatkan mereka yang sudi
mengambil tanggungjawab menjaga kucing-kucing itu semua kerana jumpahnya
mencecah 35 ekor yang berada di merata tempat dan terdapat juga beberapa ekor
kucing yang sedang bunting.
Walaubagaimanapun saya tetap
menghargai cadangan supaya saya memindahkan kucing-kucing itu ke tempat yang
selamat sungguhpun saya tidak bersetuju sama sekali untuk memindahkannya ke
kawasan kedai makan, pasar dan sebagainya . Ini menunjukkan pihak yang
berkenaan sebenarnya prihatian terhadap nasib kucing-kucing gelandangan yang
berada di tempat-tempat yang tiada sumber membolehkan mereka mendapatkan
makanan.
Comments