LOKASI MEMBERI MAKAN KUCING GELANDANGAN MENJADI SASARAN MANUSIA TAK BERTANGGUNGJAWAB MEMBUANG KUCING
Setiap malam seperti biasa saya akan
ke beberapa lokasi untuk memberi makan pada kucing-kucing gelandangan yang
tiada sumber bagi membolehkan mereka mendapatkan makanan disebabkan ketiadaan
kedai makan di lokasi berkenaan serta berada jauh dari kawasan perumahan. Jika
terdapat kedai makan atau berada dalam kawasan berhampiran perumahan, mungkin kucing-kucing
gelandangan berkenaan boleh mencari sisa-sisa makanan dari tong sampah. Tapi saya berasa sedih dan kesian bila
melihat kucing-kucing gelandangan terpaksa menyelongkar tong sampah untuk
mencari sisa-sisa makanan kerana bukan semua sisa-sisa makanan berkenaan sesuai
dimakan. Kalau saya terserempak dengan kucing yang menyelongkar tong sampah
pasti saya akan memanggil mereka untuk memberi makanan.
Ada juga lokasi kucing gelandangan itu
berada di kawasan kedai makan dan berhampiran taman perumahan yang turut saya
beri mereka makan disebabkan berdasarkan pemerhatian saya, tidak ada siapa pun
yang bersimpati melihat kucing gelandangan yang kelaparan datang meminta
makanan serta sudi menghulurkan secebis makanan. Sebaliknya kucing-kucing itu
dihalau dengan cara yang zalim bila mereka meminta makanan. Terdapat juga
kucing gelandangan yang berada dalam komuniti manusia yang tidak suka melihat
kehadiran kucing. Jadi tempat-tempat beginilah saya akan pergi setiap hari untuk
memberi kucing-kucing berkenaan makan.
Namun begitu, ada pula pihak tidak
bertanggungjawab yang mengambil kesempatan membuang kucing-kucing mereka di
lokasi yang saya sering pergi memberi makan . Mungkin mereka selalu ternampak
saya memberi kucing-kucing gelandangan makan di lokasi berkenaan maka mereka
pun mengambil kesempatan membuang kucing-kucing mereka di situ.
Baru-baru ini terdapat seekor ibu
kucing bersama 4 ekor anaknya dibuang di salah 1 lokasi yang setiap malam saya
ke sana untuk memberi kucing-kucing gelandangan itu makan. Tempat mereka
berteduh itu pula begitu hampir dengan laluan motorsikal dan tidak selamat
untuk anak-anak kucing yang aktif berjalan serta bermain disitu kerana boleh
menyebabkan mereka dilanggar motorsikal.
Disebabkan saya berasa sangat kesian
melihat keadaan kucing-kucing yang baru dibuang itu, maka saya pun mencari
keluarga angkat yang sudi mengambil tanggungjawab menjaga si ibu kucing dengan
4 ekor anaknya itu. Alhamdulillah ada juga insan berhati mulia yang juga sahabat
facebook saya yang sudi untuk menjaga kucing-kucing malang itu. BERBANYAK
TERIMA KASIH kak. Semoga Allah swt memberikan ganjaran terbaik buat akak
sekeluarga.
Comments