Semalam 9hb April 2018 - Isnin, sewaktu
saya pulang dari Shah Alam selepas selesai urusan peribadi pada sebelah malam.
Seperti biasa saya akan pulang ke Rawang melalui lebuhraya Guthrie Corridor
Expressway dengan menunggang motorsikal.
Sewaktu saya lalu di laluan motorsikal
di Plaza Tol Lagong lebih kurang jam 8.45 malam, saya telah terserempak dengan
3 ekor kucing yang sedang berkeliaran di
tepi laluan motorsikal yang berhampiran dengan kawasan hutan. 2 ekor
jantan berwarna oren dan hitam yang tak boleh didekati kerana takut
kat saya serta seekor betina mempunyai 3 warna (calico).
Terkejut juga saya dibuatnya bila
melihat kucing-kucing berkenaan. Saya tidak menyangka di kawasan Plaza Tol Lagong
yang tiada kedai makan bagaimana pula kucing-kucing itu hendak mendapatkan
sumber makanan mereka. Yang ada di situ hanyalah kemudahan untuk pengguna
lebuhraya seperti surau dan tandas selain pejabat kecil. Memang tindakan zalim
jika ada pihak yang sanggup membuang kucing si situ. Boleh menyebabkan
kucing-kucing yang dibuang di situ kebuluran kerana ketiadaan sumber untuk
mereka mendapatkan makanan. Saya berasa hairan bagaimana kucing-kucing disini
dapat meneruskan kehidupan jika tiada sumber makanan. Mungkinkah ada insan
berhati mulia yang beri kucing-kucing itu makan setiap hari?
Kebetulan saya ada bawa makanan
kucing yang sememangnya saya sediakan untuk memberi makan pada kucing-kucing
jalanan yang saya terserempak. Dapatlah juga saya menghulurkan makanan buat
kucing-kucing berkenaan. Insyaallah saya akan datang ke sini setiap hari untuk
memberi kucing-kucing itu makan.
Comments