Skip to main content

TERGAMAKNYA MEMBUANG KUCING SAKIT. INGAT KUCING SAKIT YANG DIBUANG BOLEH PULIH DENGAN SENDIRINYA KE?


Saya berasa sedih bila setiap kali terserempak dengan kucing sakit yang hidup gelandangan akibat dibuang oleh tuannya. Sudahlah kucing itu sakit dibuangnya pula. Adakah mereka yang membuang kucing-kucing yang sakit itu beranggapan kucing yang dibuang itu boleh pulih atau sihat dengan sendirinya?
Kucing yang dibuang oleh tuannya kerana mengalami masalah kurap teruk akhirnya mati dilanggar motorsikal.
Jawapan yang mungkin kita boleh agak mereka yang membuang kucing-kucing sakit itu akan berkata “saya tiada wang untuk merawat kucing saya yang sakit itu”. Kalau ye pun tiada wang untuk merawat kucing yang sakit kenapa sengaja mengabaikan dan membuang kucing-kucing itu? Tindakan membuang kucing sakit adalah suatu tindakan yang zalim dan anda yang sengaja mengabaikan atau membuang kucing anda yang sakit itu adalah satu kesalahan dan boleh didakwa.

Carilah maklumat berkaitan kucing sakit di internet yang mungkin boleh dijadikan panduan asas atau sumber rujukan dan sedikit sebanyak ia boleh memberi panduan atau maklumat yang mungkin boleh digunakan untuk merawat kucing yang sakit itu. Contoh dulu saya sendiri pun tak tahu apa itu penyakit sporo. Hasil perkongsian maklumat dan pengalaman sahabat-sahabat dalam group facebook berkaitan kucing, saya pun sedikit sebanyak memahami apa itu penyakit sporo. Terdapat seorang kenalan facebook saya yang mempunyai pengalaman dan pengetahuan dalam merawat kucing yang mengalami penyakit sporo yang sukar dipulihkan itu.
Janganlah buang kucing-kucing yang sakit itu sungguhpun anda tidak berupaya merawatnya. Kucing-kucing sakit yang dibuang itu akan terdedah kepada kezaliman manusia yang bencikan kucing tambahan pula tentu mereka akan berasa geli melihat kehadiran kucing yang berkudis, berkurap, berbau busuk akibat kecederaan yang dialami. Tidakkah anda berasa kesian dan rasa bersalah jika ternampak kucing sakit yang anda buang di kedai-kedai makan itu disepak terajang oleh pengunjung yang menjamu selera di kedai makan berkenaan? Membuang kucing-kucing sakit itu akan menambahkan lagi penderitaan yang mereka alami. Janganlah bertindak zalim. Kasihanilah kucing-kucing yang sakit itu.
Sebagai peringatan untuk kita semua. Mengikut undang-undang Malaysia, Akta 772, Akta Kebajikan Haiwan 2015

Kesalahan Penganiayaan :

Seksyen 29 (1) Mana-mana orang yang :-

(p)     meniggalkan mana-mana haiwan dalam keadaan yang boleh menyebabkan trauma, kesakitan atau penderitaan atas  sebab penempatan semula, kebuluran, dahaga, kecederaan atau penyakit.

(r)    sebagai pemunya mana-mana haiwan dengan sengaja atau cuai menyebabkan mana-mana  haiwan yang berpenyakit, tidak berupaya atau cedera untuk mati di mana-mana tempat.

      melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dideda tidak kurang daripada satu ratus ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak lebih daripada tiga tahun atau kedua-duanya.

Comments