Pada hari Selasa malam Rabu yang
lepas, seperti biasa pada setiap malam saya akan ke Plaza Tol Latar Taman Rimba
Templer untuk memberi makan pada kucing-kucing terbiar di sana. Biasanya saya
akan ke sana antara jam 11 malam hingga 1 pagi. Adakalanya disebabkan sibuk
dengan urusan peribadi dan kerja, saya pernah ke sana selepas jam 1 pagi. Saya
juga pernah beri kucing-kucing di sana makan pada jam 2.30 pagi selepas pulang
dari menghantar 2 ekor kucing yang cedera akibat kemalangan kepada Sollu
Shelter di Shah Alam untuk dirawat dan dijaga. Setiap hari saya ulang-alik dari
rumah ke tol latar sejak 16hb Februari 2018 kini sudah lebih dari sebulan.
|
Gambar Plaza Tol Latar Taman Rimba Templer pada waktu malam |
Untuk pengetahuan semua, saya tidak
suka pada situasi lalu lintas yang sesak atau terperangkap dalam kesesakan lalu
lintas. Ia memang membosankan. Sebab itu saya lebih selesa bergerak dengan
menunggang motorsikal sahaja. Pergerakan saya setiap hari sama ada untuk urusan
peribadi mahupun kerja dan aktiviti memberi makan pada kucing-kucing terbiar /
gelandangan dan operasi menyelamatkan kucing-kucing terbiar, memang
kebiasaannya saya akan menunggang motorsikal untuk ke sesuatu tempat tanpa
mengira waktu dan cuaca.
Berbalik semula tentang kejadian pada
hari Selasa malam Rabu yang lepas, setelah selesai memberi kucing-kucing
terbiar di tol latar itu makan lebih kurang jam 12.20 pagi, saya pun bergerak
untuk pulang ke rumah di Taman Tun Teja, Rawang. Kemudian di suatu lokasi dalam jarak 1km
selepas keluar dari Plaza Tol Latar Taman Rimba Templer itu, saya telah
ternampak suatu benda yang menyeramkan iaitu suatu benda terbaring yang
dibaluti kain putih seperti jenazah yang telah dikafankan. Saya
berasa hairan juga sebenarnya kerana kawasan berkenaan agak gelap tapi
bagaimana saya boleh nampak dengan jelas benda yang menyeramkan itu dan
tambahan pula pada waktu itu juga saya membawa motorsikal sekitar kelajuan 40
km / jam disebabkan tayar motorsikal depan dan belakang amat kekurangan angin
pada waktu itu disebabkan bocor terkena paku dan masih belum menampal kebocoran
tayar berkenaan.
|
Gambar lokasi berkenaan pada waktu malam |
|
Gambar lokasi berkenaan pada waktu siang |
|
Disinilah saya ternampak benda berkenaan |
Namun pada waktu itu perasaan saya
tidaklah berasa terlalu takut. Saya hanya memperlahankan motorsikal dan
berhenti dalam beberapa saat tapi tidak turun dari motorsikal. Kalau ikutkan
hati mahu saja saya berhenti lebih lama dan melihat dengan lebih dekat. Tapi
disebabkan bimbang jika terjadi sebarang kejadian tidak diingini dan tambahan
pula saya berseorangan serta kenderaan pun amat kurang lalu pada masa itu, saya
meneruskan perjalanan pulang sambil memerhati cermin sisi pandang belakang
dalam keadaan yang sudah mula rasa lain macam. Sebenarnya saya sudah bersedia
untuk menghadapi situasi aneh atau seram memandangkan saya ke sana setiap hari pada
lewat malam dan selepas detik 12 malam.
Pada keesokkan harinya badan saya
mula rasa kurang selesa. Kemudian pada hari berikutnya iaitu hari Khamis, saya
mula dilanda demam dan belum betul-betul pulih sehingga ke entri ini dimasukkan
. Isteri saya beritahu semasa saya sedang tidur pada waktu malam, dia dengar saya
bercakap sorang-sorang. Dia pun tak faham apa yang cakap. Sebelum ni tak pernah
pula dia dengar saya cakap sorang-sorang masa tidur pada waktu malam. Agaknya
mungkin demam disebabkan terkejut melihat benda yang menyeramkan pada hari
Selasa malam Rabu itu. Walaupun ini bukanlah kali pertama saya lihat benda yang
menyeramkan tapi pada saya kali ini keadaannya lebih menyeramkan.
Sungguhpun menyeramkan, saya anggap
ini adalah asam garam dalam aktiviti sukarela memberi kucing-kucing terbiar
makan pada waktu malam dan ia merupakan kenangan manis yang sukar dilupakan
kerana bukan semua orang berpeluang melihat benda-benda yang menyeramkan. Benda
yang menyeramkan ini bukanlah sengaja direka atau diada-adakan, sebaliknya saya
anggap ada hikmah atau perkara tersirat yang Allah swt ingin tunjukkan. Hanya
Allah yang maha mengetahui atas segala-galanya. Saya juga sentiasa tidak lupa amalkan
bacaan beberapa ayat suci Al-Quran berserta dengan doa bila setiap kali saya
keluar untuk menjalankan aktiviti harian secara sukarela iaitu memberi makan
pada kucing-kucing terbiar itu. Adakalanya bila saya rasa seperti diperhatikan,
saya akan berkata “aku datang ni nak bagi kucing-kucing kat sini makan aje,
lepas bagi makan aku baliklah”.
Terdapat rakan-rakan facebook saya
mencadangkan supaya saya ke sana pada sebelah siang atau jika malam janganlah
terlalu lewat malam demi untuk keselamatan. Berbanyak terima kasih saya ucapkan
kepada rakan-rakan facebook saya yang prihatin. Saya memang terfikir juga soal
ini. Sebenarnya waktu siang bagaikan terlalu singkat untuk saya ke sana.
Tambahan pula kucing-kucing itu sudah biasa dengan rutin harian saya memberi
makan pada mereka lewat malam. Seorang Pengawal Keselamatan yang bertugas di
plaza tol berkenaan pernah juga menasihati saya supaya berhati-hati dengan
pengguna lebuhraya latar yang kadangkala singgah melepak sambil meminum minuman
beralkohol di pondok yang terdapat di plaza tol itu kerana ada yang minum sehingga
mabuk dan menganggu pengguna lain yang singgah untuk ke tandas atau berehat
seketika.
Hal ini tidak akan sama sekali
menyebabkan saya menghentikan aktiviti sukarela memberi makan pada
kucing-kucing terbiar di Tol Latar Taman Rimba Templer itu. Niat saya hanyalah
ingin memberi makan pada kucing-kucing terbiar di situ memandangakan kawasan
berkenaan tiada sumber untuk kucing-kucing itu mendapatkan makanan. Jadi saya
perlu kuatkan semangat sungguhpun saya sedar risiko yang mungkin dihadapi. Bukannya
saya ingin mencari pasal dengan sesiapa pun atau mahkluk Allah yang lain.
Semoga Allah swt melindugi saya daripada sebarang musibah dan mempermudahkan
urusan saya dalam segala aktiviti sukarela untuk kucing seperti memberi makan
pada kucing-kucing terbiar, membantu dalam operasi menyelamat kucing-kucing jalanan
yang cedera akibat kemalangan dan lain-lain urusan.
Comments