Hampir setiap bulan pasti akan
terdapat kucing yang dibuang di kawasan tempat tinggal penulis. Penulis berasa
kasihan melihat kucing-kucing terbiar ini yang kebanyakannya kurus kerana
mungkin tak dapat makan beberapa hari. Bukan semua kucing terbiar ni pandai
mencari makan dengan menyelongkar di tempat pembuangan sampah. Biasanya penulis
akan memanggil atau membawa kucing-kucing ini makan makanan yang penulis
sediakan di hadapan rumah. Jadi setiap hari penulis akan pastikan ada makanan
untuk kucing terbiar sebanyak 12 ekor yang datang makan di hadapan rumah penulis.
Itu belum termasuk lagi dengan kucing-kucing jiran yang datang menyinggah makan
di hadapan rumah. Penulis memang sentiasa menyediakan bekas makanan dan air
untuk kucing-kucing terbiar itu makan dan minum. Bekas makanan pun akan
sentiasa penulis pastikan terdapat
makanan dalam bekas tersebut. Bila kurang penulis akan tambah demi untuk
memastikan kucing-kucing terbiar itu tak kelaparan.
Adakalanya penulis turut memberi
makan pada kucing-kucing terbiar yang kerap penulis terserempak di luar kawasan
kediaman ketika keluar membeli makan dan
membeli barang keperluan di kawasan lot-lot kedai dan taman perumahan
berdekatan. Bila kucing-kucing ini datang meminta makan pada penulis, rasa tak
sampai hati pula membiarkan mereka tak dapat walau sedikit pun makanan.
Penulis sentiasa pastikan akan ada
bajet untuk membeli makanan untuk kucing-kucing terbiar berkenaan. Penulis
menjalankan perniagaan kecil dari rumah sejak tahun 2008. Adat berniaga,
adakalanya mendapat jualan banyak dan ada ketikanya jualan agak perlahan atau
kurang. Pendapatan pun taklah besar sangat. Maklumlah hanya berniaga dari
rumah. Jika bajet kurang terpaksalah penulis dan isteri ikat perut sikit dan
tangguhkan dulu beli barang keperluan, asalkan yang penting dahulukan bajet
untuk beri kucing-kucing terbiar itu makan. Bukan hanya menyediakan makanan
untuk kucing-kucing terbiar, penulis juga perlu menyediakan makanan untuk empat
ekor kucing yang dipelihara dalam rumah. Penulis belum dikurniakan anak lagi sejak
berkahwin 12 tahun yang lalu. Jadinya penulis dan isteri menganggap
kucing-kucing ini seperti anak-anak. Sebab itulah rasa kasihan dan tak sampai
hati melihat kucing-kucing terbiar ini kelaparan. Rasa gelisah jika tak dapat
beri makan untuk kucing-kucing terbiar yang sedang menanti di luar rumah.
Comments