Skip to main content

APA NASIB KUCING TERBIAR JIKA KEDAI MAKAN TEMPAT CARI SISA MAKANAN ITU TUTUP SELAMA BEBERAPA HARI?

Kita biasa lihat banyak kucing dibuang di restoran dan kedai-kedai makan. Si pembuang kucing beranggapan, membuang kucing di restoran atau kedai makan suatu tindakan yang bijak. Kononnya nanti kucing yang dibuang di situ akan mendapat sisa-sisa makanan daripada tuan kedai dan pengunjung kedai berkenaan. Namun, apa nasib kucing-kucing itu jika restoran atau kedai ditutup selama beberapa hari, terutamanya pada musim cuti perayaan?
 
Pada Hari Raya Aidil Adha yang lalu, ada sebuah restoran berhampiran kawasan tempat tinggal saya, tutup selama 10 hari sempena Hari Raya. Saya perasan restoran itu ditutup sejak sehari sebelum hari raya dan dibuka semula 9 hari kemudiannya. Ini kerana pemilik dan pekerja restoran berkenaan pulang beraya di negeri pantai timur. Di restoran itu terdapat beberapa ekor kucing yang hidup terbiar akibat dibuang oleh tuannya. Ada anak kucing, kucing tua dan kucing yang sedang bunting.

Bayangkan nasib yang menimpa kucing-kucing terbiar itu selama 10 hari tanpa mendapat sebarang sisa-sisa makanan untuk dimakan. Mujur rumah saya dekat dengan restoran berkenaan. Dapatlah saya beri kucing-kucing terbiar itu makan setiap hari.
Satu halnya lagi, ada jaminan ke kucing-kucing yang dibuang di restoran dan kedai-kedai makan itu akan dapat sisa-sisa makanan untuk dimakan? Pada pendapat saya kucing-kucing yang dibuang di kedai-kedai makan akan mengalami kesukaran mendapat makanan dan air bersih untuk diminum. Ini kerana bukan semua pemilik, pekerja restoran dan pengunjung restoran yang bermurah hati nak beri kucing-kucing terbiar itu makan walaupun cuma lebihan sisa-sisa makanan. Teringat saya hal yang diceritakan oleh seorang warga Indonesia yang bekerja di sebuah restoran, taukehnya telah meracun ke semua kucing-kucing terbiar yang dibuang di restorannya kerana tak suka kucing berkeliaran dalam kawasan kedai yang meminta makanan. Menangis indon tu dan kemudian indon tu kutip kucing-kucing yang mati untuk ditanam.  Jika anda fikir buang kucing di restoran dan kedai makan suatu tindakan baik, fikir balik betul-betul. Yang sebaiknya jangan buang kucing. Jika takut kucing bunting dan membiak, lebih baik dimandulkan. Boleh berbelanja beli telefon pintar mahal-mahal, takkanlah keluarkan sedikit perbelanjaan untuk mandulkan kucing jantan / betina pun tak boleh.

Comments