Sewaktu penulis melakukan aktiviti
memberi kucing-kucing jalanan @ gelandangan makan di kawasan Taman Kanching,
Rawang, Selangor. Dari jauh penulis perhati seekor kucing yang terdapat di hadapan
sebuah restoran yang tak beroperasi disiang hari. Ia seakan kucing betina yang
dah lama hilang dari blok pangsapuri tempat tinggal penulis. Memang benar
inilah kucing yang penulis beri makan beberapa kali setiap hari di hadapan
rumah. Selain penulis, seorang anak jiran berhati mulia yang merupakan seorang
pelajar universiti tempatan kadangkala pulang pada cuti semesternya turut
memberi kucing ini makan serta memandikannya.
Asalnya kucing ini dibuang oleh orang
yang tak bertanggungjawab di blok pangsapuri kediaman penulis pada tahun lepas.
Kucing ini juga pernah dua kali melahirkan anak disini tapi sayang semuanya
mati. Beginilah nasib kucing jalanan yang tak dapat perlindungan yang
sepatutnya.
Setiap hari penulis perhatikan,
kucing ini tak mendatangkan kacau ganggu kepada jiran tetangga. Ia juga tak
membuang najisnya merata tempat atau di kawasan rumah orang. Meminta makan minum daripada jiran pun tiada
kerana setiap hari penulis yang beri ia makan 3 kali sehari serta air untuk
diminum dan juga memastikan makanan serta air sentiasa ada dalam bekas makanan
yang penulis letak di hadapan rumah. Sekali sekala jika terdapat najis kucing di
kawasan koridor / kaki lima, penulis juga ada membersihkannya. Tapi masalah
kucing membuang najis di kawasan koridor amat jarang berlaku disini.
Penulis tak faham kenapa kucing ini
dibuang ke tempat lain oleh mereka yang berkenaan sedangkan ia tak membuat kacau ganggu.
Sebaliknya penulis pernah beberapa kali ternampak anak jiran yang sedang
membuang air kecil di kawasan koridor berhampiran rumah penulis sehingga air
kecilnya mengalir di laluan koridor dan sudah pastilah mendatangkan bau hancing
yang kuat.
Kini kucing ini berada di sebuah
restoran Taman Kanching, Rawang yang jaraknya taklah jauh dari tempat tinggal
penulis. Kesian dan berasa sedih melihat keadaannya sekarang yang kelihatan
kotor. Penulis tak dapat membawanya pulang kerana bimbang ia akan dibuang
sekali lagi oleh jiran tetangga ke suatu tempat yang mungkin penulis tak dapat
menemuinya lagi. Penulis hanya dapat memberi ia makan. Insyaallah penulis akan
datang ke restoran itu setiap hari untuk memberinya makan. Sekurang-kurangnya
ia tidaklah berasa lapar dan meminta belas kesian untuk mendapatkan makanan
dari pengunjung restoran yang belum tentu dapat memberinya makan.
Comments